Thursday, January 3, 2008

Wen Chean, Qabil paling lumayan


LUMAYAN: Crystal Lim (kiri) dan Qabil memperaga repllika cek yang disampaikan Perdana Menteri di PICC, petang semalam.

KEJAYAAN memenangi empat emas � tiga acara individu dan satu acara berpasukan � di Sukan Sea XXIV Korat 2007 memberi habuan besar buat ratu gimnastik berirama Crystal Lim Wen Chen apabila mendapat sejumlah RM16,250 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).

Crystal adalah seorang daripada 137 atlit negara yang mendapat habuan masing-masing atas kejayaan menyumbangkan pingat emas di temasya serantau itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis penghargaan gilang gemilang kerajaan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Aziz.


Crystal memenangi emas dalam disiplin riben, tali dan gelung serta berpasukan dengan setiap emas individu bernilai RM5,000 dan berkongsi RM1,250 bagi kemenangan dalam berpasukan gimrama.

Selain Crystal, turut menerima habuan besar ialah jaguh ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil yang mendapat RM12,500 berbekal kejayaan memenangi empat emas � dua individu dan dua berpasukan � dalam acara showjumping dan dressage.

Ia kejayaan cemerlang buat Qabil kerana memenangi emas dalam semua acara yang disertainya, sekali gus mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam temasya itu.


Turut berkongsi nilai kemenangan sama ialah jaguh terjun Yeoh Ken Nee, yang menyumbangkan dua emas individu dan satu berpasukan dalam acara terjun berirama.

Dua perenang, Khoo Chai Lin dan Daniel Bego juga tidak terkecuali daripada menikmati habuan lumayan hasil daripada kecemerlangan mereka di Korat apabila masing-masing menyumbangkan dua emas serta berjaya memecahkan rekod kebangsaan masing-masing yang memberikan keseluruhan RM12,000.

Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan sejumlah RM376,000 untuk pembayaran Shakam dengan atlit akuatik iaitu renang dan terjun mendapat habuan terbesar iaitu RM74,000, karate-do (RM40,000), olahraga (RM36,000) dan gimnastik (artistik dan gimrama) RM30,000.

Pada Sukan Sea XXIV Disember lalu, kontinjen Malaysia membawa pulang sejumlah 68 emas, sekali gus membolehkan mereka menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan di belakang tuan rumah Thailand, pencapaian kedua terbaik dalam sejarah temasya ini.

Berita Harian

No comments: