Thursday, July 5, 2007

600 atlit, 200 pegawai ke Korat

Kontinjen terbesar negara pernah dihantar menyertai kejohanan Sukan Sea

SUKAN Sea XXIV di Korat, Thailand penghujung tahun ini bakal menyaksikan jumlah kontinjen terbesar negara pernah dihantar dengan anggaran kekuatan 600 atlit dan 200 pegawai menyertai dalam kemungkinan 39 daripada 43 sukan yang dipertandingkan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kontinjen negara hampir 900 orang termasuk atlit, pegawai dan anggota sokongan yang akan bersaing dalam temasya yang berlangsung dari 6 hingga 15 Disember ini.

Malah jika penyertaan berdasarkan angka yang dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea XXIV, Malaysia menyenaraikan sejumlah 1,002 atlit dan pegawai.

“Berdasarkan senarai awal penyertaan mengikut angka, jumlahnya melebihi 1,000 orang iaitu atlit, pegawai dan anggota sokongan,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi semalam. “Ia hanya angka awal dan ia akan berkurangan, saya rasa sekitar 700 hingga 900 atlit dan pegawai.

“Tetapi ia masih lagi jumlah tertinggi kontinjen negara yang akan menyertai Sukan Sea kerana jenis sukan dan acara yang dipertandingkan kali ini.

“Daripada 43 sukan dipertandingkan, Malaysia tidak akan menyertai gusti, muay Thai, taekwondo dan lumba bot tradisional,” katanya.

Penyertaan terbesar Malaysia ialah pada Sukan Sea XXI di Kuala Lumpur pada 2001 dengan lebih 700 atlit dan pegawai.

Bagi penyertaan sebenar untuk kelayakan atlit, MOM akan mengadakan sesi pemilihan pada 28 dan 29 Julai ini dengan syarat catatan tempat kedua menjadi penanda aras kelayakan.

‘Jumlah tinggi kontinjen adalah kerana ada atlit dipilih berdasarkan kepada kategori B selain daripada sukan yang dipertandingkan bertambah,” kata Kok Chi.

Mengenai persediaan tuan rumah, Thailand menghadapi temasya ini, Kok Chi berkata pihaknya tidak mendapat apa-apa maklumat daripada penganjur.

“MOM belum dimaklumkan mengenai persediaan tuan rumah terutama membabitkan penginapan, pengangkutan dan gelanggang.

“Apapun, semua ini mungkin akan terjawab apabila wakil Majlis Olimpik Thailand, Charouk Arirachakaran hadir di Kuala Lumpur Khamis depan untuk menyerah surat jemputan penyertaan Sukan Sea secara rasmi.

No comments: