Bibiana, Joceline, Siti Marsitah debar menunggu hukuman daripada ISAF minggu ini
MINGGU ini menjadi detik penuh debaran untuk tiga penembak negara, Bibiana Ng, Joceline Cheah dan Siti Nur Marsitah Mohd Badrin, sama ada mereka hanya dihukum enam bulan dan dapat beraksi di Sukan Sea Korat atau sebaliknya.
Segala-galanya bergantung kepada perkhabaran daripada Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISAF) sama ada mahu memperakukan tempoh penggantungan yang dicadangkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM).
Enam bulan penggantungan kerana sampel air kencing positif mengandungi bahan terlarang, adalah tempoh paling minimum untuk seseorang atlit berbanding dua tahun tempoh maksimum.
“Kami sudah mengemukakan bukti kukuh seperti yang dikehendaki jawatankuasa tiga pihak anti-doping kebangsaan. Memang pada mulanya mereka menolak keputusan yang kami buat sebelum ini tetapi selepas beberapa pindaan, mereka memperakukannya.
“Ekoran itu, kami sudah pun menghantar keputusan berkenaan kepada badan induk antarabangsa minggu lalu untuk diperakukan. Kebiasaannya mereka akan menerima keputusan ahli gabungan,” kata Setiausaha Eksekutif NSAM, Mejar (B) Jasni Shaari.
Kenyataan itu harus membawa khabar gembira untuk ketiga-tiga penembak terbabit dan NSAM yang kelihatan yakin, turut menamakan mereka untuk disenaraikan ke Korat, bersama penembak lain termasuk Nur Suryani Mohd Taibi, Hasli Izwan Amir Hasan dan Shahera Rahim Raja.
“Memang kebiasaannya mereka menerima keputusan kecuali ada bantahan daripada pihak tertentu,” katanya sambil menegaskan, antara inti pati keputusan panel siasatan NSAM adalah penembak terbabit mengambil dadah itu tanpa disedari mereka.
Ditanya apakah ini bermakna NSAM sudah mengenal pasti dan bakal mengambil tindakan terhadap dalang kes itu, Jasni berkata, segala-galanya menunggu perakuan daripada ISAF.
“Kami tunggu dulu keputusan mereka, mungkin dalam sehari dua lagi dan hanya selepas itu kami akan mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Ketiga-tiga pembidik negara itu dalam keterangan mereka, menyatakan mereka tidak menyedari ada bahan terlarang dimasukkan ke dalam coklat mereka sebelum pertandingan menembak Mac lalu, yang menyebabkan sampel air kencing mereka positif doping.
Menerusi sampel air kencing itu, pihak terbabit mengesan kesan dadah, jenis propanolol yang digunakan pesakit jantung bagi mengurangkan perasaan berdebar dan gemuruh. Ketiga-tiga penembak terbabit turut membuat laporan polis mengenai perkara itu dalam usaha membersihkan imej mereka.
Tuesday, July 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment