Wednesday, July 18, 2007

Bola sepak ke Korat samar

MOM buat penentuan kelayakan skuad negara dalam mesyuarat akhir bulan ini


STATUS skuad bola sepak negara untuk tampil beraksi di Sukan Sea 2007 di Korat, Disember ini dalam serba kegelapan ketika ini andai berpandu kepada prestasi buruk dipersembahkan dalam kancah Piala Asia yang sedang berlangsung ketika ini di Kuala Lumpur.

Kehadiran pemain negara bakal mempunyai kesan besar apabila jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengadakan mesyuaratnya, akhir bulan ini.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, berkata persembahan buruk skuad kebangsaan di Piala Asia akan memberi kesan kepada pemilihan walaupun beliau tidak membayangkan apakah bentuk keputusan yang diambil nanti.

“Keputusan buruk bola sepak di Piala Asia akan membawa kesan kepada bola sepak untuk beraksi di Sukan Sea,” kata Tunku Imran pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif di Wisma MOM, semalam.

“MOM akan mempertimbangkan segala faktor sebelum membuat keputusan dan saya pasti semua pihak mahukan yang terbaik untuk bola sepak,” kata Tunku Imran.

Ditanya apakah MOM akan menuntut jaminan daripada FAM bahawa skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 Tahun yang akan beraksi di Korat tidak akan memalukan kontinjen negara, Tunku Imran berkata, ia akan diputuskan kemudian.

Bola sepak pada Sukan Sea Korat Disember ini akan menampilkan saingan B-23 dan ketika ini tampak Vietnam pasukan pilihan kerana memiliki skuad Olimpik yang mara ke pusingan akhir kelayakan zon Asia.

Selain itu penampilan memberangsangkan Thailand dan Indonesia turut menjadi prospek menggerunkan mengenai apa yang bakal diterima skuad B-23 Malaysia kendalian B Sathianathan.

Menyentuh mengenai FAM, Tunku Imran berkata, badan induk bola sepak perlu melakukan perubahan total, satu anjakan paradigma dan bukan sekadar melakukan pelarasan atau pembaharuan kecil.

“FAM perlu melalui perubahan sepenuhnya termasuk strukturnya,” kata Tunku Imran. “Mereka melakukan kajian mengenal pasti punca kepada semua kemerosotan bola sepak negara dan masalah yang mereka hadapi cukup besar.

“FAM tidak boleh melakukan perubahan kecil dan selain itu semua pembaharuan yang perlu dilakukan ialah untuk jangka masa panjang, bukan dilakukan secara sementara.

“Saya juga berpendapat FAM perlu membabitkan pihak lain seperti kerajaan untuk membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana badan induk itu tidak boleh bertindak berseorangan... mereka memerlukan pertolongan,” kata Tunku Imran.

Berita Harian

No comments: