PERSATUAN Taekwando Malaysia (MTA) mempunyai tanggungjawab yang besar untuk segera menyediakan atlit bersaing di peringkat antarabangsa termasuk menyediakan pasukan untuk Sukan Sea di Korat, kelak.
Sambil mengalu-alukan kehadiran MTA selepas dua tahun pertubuhan itu digantung oleh Pesuruhjaya Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, persatuan itu perlu melupakan segala episod hitam bagi memboehkan atlit mereka bersaing di kancah antarabangsa.
“Mereka perlu melupakan segala permasalahan dalaman sebelum ini serta memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap usaha melahirkan atlit yang berwibawa dan pada masa sama diharapkan semua pihak yang bertelingkah akan kembali di bawah satu bumbung,” katanya.
Sebelum ini, Presiden MTA, Kam Phaw Ho, menyeru semua persatuan atau kelab taekwando yang berpisah daripada MTA supaya kembali ke pangkuan persatuan demi kemajuan sukan itu.
“Menurut aku janji kita dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, kita sedia menggugurkan kes lama, menerima semula anggota gabungan selain mempersiapkan kembali atlit bagi membolehkan MTA kembali berfungsi.
“Selain itu, kita juga sudah mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Taekwando Dunia (WTF) menerusi surat bertarikh 24 Julai lalu untuk menjadi badan induk tunggal sukan ini di Malaysia,” katanya.
Ho juga berharap, semua pihak yang terbabit dalam persengketaan sebelum ini melupakan kisah silam dan kembali ke meja rundingan dengan menyertai MTA sebagai ahli gabungan.
“Sebagai ahli gabungan mereka mempunyai hak mengundi dan menyertai proses pemilihan. Kita sudah menghantar surat pelawaan itu sejak 9 Julai lalu sejurus dimaklumkan bahawa penggantungan sukan taekwando sudah ditarik balik,” katanya.
Awal minggu ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong, berkata sejajar dengan keputusan Pesuruhjaya Sukan yang mengiktiraf semula MTA, persatuan itu perlu segera menjalankan tanggungjawabnya mengendalikan atlit.
“Sebagai menghormati keputusan yang dibuat MSN akan bekerjasama dengan MTA dalam penyediaan atlit dan segera meneliti segala keperluan mereka demi menjamin kejayaan atlit negara,” katanya yang mengulas mengenai nasib malang persatuan sukan itu yang tidak pernah gagal menyumbang pingat untuk negara di Sukan Sea.
Berita Harian 29 July 2007
Monday, July 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment