Tuesday, July 31, 2007

Skuad negara sasar kemenangan tanpa Josiah

KUALA LUMPUR – Temasya Sukan SEA Korat pada Disember ini menyaksikan skuad lumba basikal negara meletakkan sasaran meraih lebih daripada empat emas tetapi tanpa kehadiran jaguh acara pecut dan keirin, Josiah Ng.

Atas kertas, ketiadaan Josiah boleh dianggap kontinjen negara sudah pun kehilangan dua emas memandangkan pelumba itu tiada tandingan di rantau Asia Tenggara.

Namun, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tetap percaya mereka mampu memperbaiki pencapaian empat pingat emas pada Sukan SEA di Manila pada 2005 walaupun tanpa Josiah.

Presiden PKBM, Abu Samah Wahab berkata, nama Josiah terpaksa digugurkan dalam senarai yang dihantar ke Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke Sukan SEA, semalam atas permintaan pelumba itu sendiri.

“Josiah mahu memberikan tumpuan memungut mata untuk membolehkannya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing tahun depan.

“Jadi dia akan menyertai banyak kejohanan di Eropah termasuk ketika Sukan SEA di Korat berlangsung,” katanya.

Sehubungan itu, Abu Samah berkata, pihaknya meletakkan sasaran kepada enam acara lain untuk membawa pulang lebih daripada empat emas.

Acara-acara itu ialah lebuh raya individu lelaki dan wanita, 3km kejar mengejar individu lelaki, kejar mengejar berpasukan lelaki, pecut Olimpik lelaki dan 1km ujian masa individu lelaki.

“Tahun ini kita menghantar pelumba paling ramai dalam sejarah Sukan SEA iaitu 22 lelaki dan lapan wanita.

“Kita percaya kesemuanya akan pergi di bawah kategori A kerana kebanyakan pelumba berbekalkan rekod pencapaian yang baik.

“Di samping itu kita juga mempertahankan pingat emas dalam empat acara iaitu lebuh raya lelaki dan wanita, pecut Olimpik dan kejar mengejar berpasukan,” tambahnya.

Selain acara lebuh raya dan trek katanya, PKBM juga berusaha menyenaraikan empat pelumba basikal bukit ke Sukan SEA.

“Bagaimanapun pemergian mereka bergantung kepada pencapaian di kejohanan Asia di Shanghai, China dari 2-6 Ogos ini,” ujar Abu Samah.

Sebanyak enam pelumba basikal bukit akan berlepas ke Shanghai hari ini yang dijadikan medan kelayakan ke Sukan SEA.

Mereka ialah J.R. Stanley, Shahrin Amir, Ghazali Hakiki, Mohd. Hafiz Rosli (lelaki), Masziaton Mohd. Radzi dan Junaidah Juss (wanita).


Berita Harian

No comments: