Thursday, December 13, 2007

13 emas pintas Singapura


KAYUHAN EMAS... Atlet Lumba basikal Malaysia mengangkat tangan meraikan kejayaan memenangi emas dalam acara 4km kejar mengejar berpasukan pada Sukan SEA di Korat, Thailand, semalam.
KORAT – Malaysia melonjak ke tangga ketiga kedudukan pingat keseluruhan buat kali pertama selepas mengutip 13 emas semalam, pencapaian terbesar kita pada Sukan SEA ke-24 selepas lebih seminggu Temasya berlangsung.

Karate-do memulakan saingan dengan menggondol empat emas, manakala boling padang dikejutkan dengan kekalahan juara Sukan Komanwel dua kali, Siti Zalina Ahmad, namun masih mampu memberikan empat emas.

Lumba basikal menghadiahkan pingat emas keempat mereka dengan menambah dua lagi semalam, sementara ekusterian, taekwondo dan memanah masing-masing menyumbang satu emas.

Selepas genap seminggu Sukan SEA ke-24 dilangsungkan secara rasmi, kontinjen negara berjaya mengumpul 44 pingat emas, kurang 20 emas daripada yang disasarkan pada ketika Temasya tinggal tiga hari untuk ditutup.

Mereka berjaya mengetepikan Singapura daripada kedudukan ketiga pungutan pingat, namun masih di belakang Thailand yang meraih 119 emas dan Vietnam dengan 57 pingat emas.

Karate, yang masih mempunyai dua hari kejohanan - hari ini dan esok sekali lagi menjadi pertaruhan Malaysia untuk membantu mencari baki 20 emas yang diperlukan.

Semalam, Ku Jit Keat dan Lim Lee Lee mengetuai hari cemerlang negara apabila mempertahankan kejuaraan kata lelaki dan wanita individu, sebelum juara Asia, R. Puvaneswaran dan Lim Yoke Wai menambah dua lagi emas dalam acara bawah 55 dan 65kg lelaki.

Hari ini, karate berpotensi menambah tiga lagi emas dengan Yoke Wei sekali lagi turun ke gelanggang, kali ini bertanding dalam kelas terbuka.

Turut menjadi pertaruhan adalah juara Asia, G. Yamini yang akan bertanding dalam dua saingan - bawah 60kg dan terbuka wanita, manakala L. Kunasilan turun mempertahankan gelaran 60kg lelaki yang dimenangi pada Sukan SEA 2005.

Seperti yang dijanjikan, boling padang menjadi lubuk emas Malaysia, namun kejayaan itu sedikit tercemar dengan kekalahan mengejut Siti Zalina.

Siti Zalina, 26, dikejutkan oleh pemain tuan rumah, Songsin Tsao pada perlawanan akhir, namun mujurlah kegagalannya itu berjaya ditebus rakan-rakan lain.

Gandingan Azim Azami Ariffin-Mohd. Amir Yusof menghadiahkan emas dalam acara beregu lelaki, manakala kombinasi Fairul Izwan Abdul Muin, Mohd. Azwan Shuhaimi dan Zulhilmie Redzuan meraih emas trio lelaki.

Dua lagi emas menerusi beregu wanita Azlina Arshad-Emma Firyana Saroji dan trio Maisarah Aminludin, Nor Fidrah Noh serta Nor Hashimah Ismail.

Seperti dijangkakan, pelumba Malaysia mempamer aksi mantap dalam perlumbaan basikal pecut apabila mendominasi dua saingan akhir, di mana Josiah Ng berjaya mengalahkan Mohd. Azizulhasni Awang.

Malaysia turut menambah emas kedua di velodrom menerusi kombinasi Amir Mustapha Rusli, Jasmin Ruslan, Akmal Amrun dan Mohd. Harif Salleh yang memenangi acara 4km kejar mengejar berpasukan.

Qabil Ambak Mahamad Fathil pula memastikan Malaysia menyapu kesemua empat emas yang ditawarkan dalam acara ekuestrian setakat ini dengan muncul juara show jumping individu, iaitu emas keempatnya berturut-turut.

Selepas memenangi acara recurve individu, Cheng Chu Sian membantu skuad memanah meraih emas kedua dalam recurve berpasukan bersama Muhammad Marbawi Sulaiman dan Wan Mohd. Khalmizam Wan Abd. Aziz.

Turut menjadi menyumbangkan pingat emas semalam adalah Che Chew Chan yang mempamer pertarungan terhebat ketika menjuarai acara taekwondo 72kg wanita.

Malaysia berharap untuk mengutip sekurang-kurangnya sembilan lagi emas, menghampiri sasaran keseluruhan Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu 64 emas.

Selain karate-do, yang berkedudukan baik untuk memberikan sekurang-kurangnya tiga lagi pingat emas, prospek Malaysia juga adalah dalam acara terjun, hoki dan lumba basikal.

Yeoh Ken Nee akan turun mempertahankan kejuaraan 3m papan anjal lelaki, manakala Leong Mun Yee cuba menebus kegagalannya dalam 3m papan anjal wanita semalam dengan beraksi dalam saingan 1m hari ini.

Hoki pula menjanjikan pingat emas yang cerah, terutama dalam saingan lelaki, di mana Malaysia akan bertemu Singapura dalam perlawanan akhir. Kita membelasah Singapura 7-1 pada pertemuan peringkat kumpulan.

Hoki wanita menemukan Malaysia dengan musuh tradisi, Thailand, pasukan yang dikalahkannya 1-0 dalam saingan awal.

Basikal akan cuba mempertahankan salah satu daripada dua emas lebuh raya yang dimenangi di Filipina dua tahun lalu, dan peluang terbaik adalah menerusi dua pelumba yang berpengkalan di Eropah, Fauzan Lufti dan Ng Yong Li.

Turut menjadi tumpuan hari ini adalah acara boling yang menawarkan dua emas terakhir di Bangkok, dan prospek terbaik Malaysia adalah dalam Masters Wanita, di mana Esther Cheah berjaya mendahului blok pertama semalam.

Utusan

No comments: