Thursday, December 13, 2007

Trio lelaki negara tepati sasaran

GANDINGAN Cheng Chu Sian, Mohd Khalmizan Wan Abdul Malik dan Muhammad Marbawi Sulaiman menepati sasaran apabila memenangi pingat emas acara memanah Recurve berpasukan lelaki tetapi pasukan wanita terpaksa berpuas hati dengan perak pada saingan di Universiti Teknologi Suranaree di Korat, semalam.


Trio Malaysia menewaskan gandingan Indonesia � Mohamed Ali Sofian, Rahmat Sulistyawan dan Hendro Suprianto � dengan kiraan 213-211 pada perlawanan akhir selepas mereka menumpaskan Myanmar 218-208 pada peringkat separuh akhir, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, pasukan wanita dianggotai Anbarasi Subramaniam, Irza Hanie Abdul Samah dan Nor Aziera Taip tewas 198-204 dalam perebutan pingat emas kepada trio Indonesia iaitu pemenang pingat emas Recurve individu, Ika Yuliana, pemenang perak Puspitasari Rina Dewi dan Gina Rahayu Sugiharti.


Dengan emas acara berpasukan dan Recurve individu lelaki menerusi Chu Sian, pasukan memanah menamatkan pertandingan yang berakhir semalam dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa.

"Kami agak pasti untuk menang emas acara lelaki tetapi akur tugas sukar untuk menewaskan Indonesia. Kami mensasarkan dua emas dan saya gembira berjaya mencapai sasaran.

"Walaupun kami menang tiga pingat emas pada Sukan Sea 2005 di Manila menerusi acara Compound, tetapi kali ini, pasukan Compound masih baru," kata pengurus pasukan Mohammad Yazid Ahmad.

Dalam acara lelaki, Filipina menewaskan Myanmar 208-205 untuk merangkul gangsa manakala Thailand menewaskan Vietnam 198-197 untuk gangsa wanita.

Sementara itu, dalam acara Compound berpasukan lelaki, gandingan Lau Siew Hong, Soo Teck Kim dan Ting Leong Fong menewaskan Singapura 217-212 untuk menang gangsa di belakang Vietnam dan Indonesia yang menang emas dan perak. - Bernama

No comments: