KORAT – Malaysia meraih satu lagi pingat emas menerusi acara basikal trek semalam tetapi kegagalan demi kegagalan serta demam yang menimpa pelumba prospek, awal-awal lagi sudah melenyapkan harapan negara untuk mencapai sasaran enam emas pada Sukan SEA di sini.
Walaupun pasukan pecut berpasukan meraih emas kedua semalam namun kegagalan Uracca Leow menjuarai acara 3km kejar-mengejar individu meletakkan skuad basikal trek menyimpang jauh daripada matlamat awal mereka.
Ini ditambah ketiadaan juara bertahan Nor Azian Alias yang mengalami demam teruk sejak tiga hari lalu menyebabkan dia terpaksa diketepikan dalam acara 24km perlumbaan mata semalam.
Ini bermakna pada hari kedua pertandingan sahaja, skuad basikal negara sudah kehilangan dua pingat emas yang disasarkan. Satu lagi kelmarin apabila Fatetah Mustapha yang diharap dapat meraih emas acara 500m ujian masa wanita turut gagal apabila hanya mampu meraih gangsa.
Ternyata segalanya serba tidak menjadi buat skuad basikal trek negara pada temasya kali ini kerana sinar baru yang diharapkan tidak menjelma dan mengikut skrip yang ditetapkan.
Mujur pasukan pecut yang dibarisi Junaidi Mohd. Nasir, Azizul Hasni Awang dan Muhammad Edrus Md. Yunos menjadi pengubat duka semalam dengan menewaskan gandingan Thailand di tempat kedua dan Indonesia ketiga.
“Kami memang sudah jangka acara pecut berpasukan menjadi milik kita kerana Malaysia adalah juara bertahan dalam acara ini yang mana kita menangi dua tahun lalu di Filipina.
“Tetapi apa yang mengecewakan ialah kegagalan Uracca Leow dalam acara 3km kejar-mengejar individu. Malah selepas itu apabila ketika mengharapkan acara 4km kejar-mengejar lelaki melakukan kejutan, ia tidak pula kesampaian,” ujar pengurus pasukan, Yunus Ibrahim.
Uracca yang mencatat masa tiga minit, 59.461 saat tewas kepada pelumba Thailand yang lebih pantas satu saat sahaja di depannya pada pertandingan akhir semalam.
“Saya sudah mencuba sedaya-upaya tetapi pelumba Thailand itu semakin laju mengayuh ketika lebih dekat dengan garisan penamat,” kata Uracca.
Selepas itu, Amir Mustafa Rusli yang turun beraksi pada perlumbaan akhir 4km kejar-mengejar individu lelaki turut hampa apabila tumpas kepada pelumba Filipina, Alfie Catalan.
Dengan kegagalan tiga prospek emas setakat ini, skuad basikal trek negara kini mengharapkan kepada Josiah Ng atau Azizul Hasni untuk meraih emas ketiga dalam acara 200m pecut atau gandingan kejar-mengejar berpasukan lelaki pada hari terakhir saingan, hari ini.
– Utusan
No comments:
Post a Comment