Thursday, December 13, 2007

Kayuhan hebat di velodrom

Kuartet 4km kejar mengejar, Josiah Ng buktikan kehebatan henjutan akhir

DUA lagi emas, sebutir perak dan gangsa disumbangkan untuk kontinjen negara dari trek Velodrom Stadium Ulang Tahun di Korat menerusi kuartet kejar mengejar 4km lelaki berpasukan dan 200m pecut lelaki individu, semalam.

Kejayaan itu menyaksikan skuad berbasikal negara muncul pasukan terunggul Asia Tenggara bagi acara trek dengan empat emas, empat perak dan empat gangsa.


Dalam acara kejar mengejar semalam, kuartet negara yang dibarisi Amir Mustafa Rusli, Mohd Jasmin Ruslan, Mohammad Akmal Amrun dan Mohd Harrif Saleh, mencatatkan masa 4:27.910s.

Catatan masa itu turut memecahkan rekod kebangsaan iaitu 4:33.30s serta rekod Sukan Sea di Manila iaitu, 4:31.31s.

Tempat kedua diraih kuartet Thailand manakala ketiga dimenangi Filipina.

Jasmi berkata, semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan mereka.

"Apabila kami melihat ada seorang pelumba Thailand yang terkeluar daripada saingan, ia menyebabkan kami lebih bersemangat untuk berlumba dan mencatatkan keputusan terbaik," katanya.

Jurulatih lumba basikal negara, Ng Joo Ngan, berkata beliau gembira kuartet itu membuktikan kemampuan diri mereka memecahkan rekod Sukan Sea.

"Mereka masih muda tetapi sudah mampu memecahkan dua rekod sekali gus. Ini menjadi satu perkembangan baik untuk negara," katanya.

Sementara itu, Josiah Ng membuktikan dirinya masih pakar pecut nombor satu negara apabila menewaskan Mohd Azizulhusni Awang dalam saingan pecut 200m individu.

"Sejak sebelum saingan saya sudah menjangkakan saingan ini membabitkan saya dengan Azizul.

"Dia menjadi ancaman saya dan nyata, saya terpaksa bersaing dalam tiga perlumbaan dengannya untuk meraih emas," katanya sambil memuji kemampuan pelumba muda itu.

Fatehah Mustapa melengkapkan cabaran negara semalam dalam acara kejar mengejar individu dengan menduduki tempat ketiga di belakang pelumba Indonesia, Muzizah Ujun dan pelumba tuan rumah Maneephan Jutaip.

BH

No comments: