Wednesday, December 12, 2007

Sukan Sea: Qabil, rakan sumbang emas

SEBUTIR lagi pingat emas berjaya dibawa pulang daripada acara ekuestrian apabila Mohd Qabil Mahammad Fathil Ambak mengemudi pasukan negara muncul juara acara showjumping berpasukan di Horseshoe Point di Pattaya City, semalam.

Ia adalah pungutan emas ketiga buat Qabil selepas mengumpul dua emas masing-masing dalam acara dressage individu dan berpasukan sebelum ini dan kelapan secara keseluruhan dalam penampilan di Sukan Sea sejak 2001.

Semalam, Qabil mencipta persembahan sempurna apabila tidak dikenakan sebarang penalti bersama kudanya sambil akan terus layak ke acara individu yang akan berlangsung, esok di tempat sama.


Qabil membantu rakan sepasukan, Syed Omar Al Mohdzar (empat penalti), adiknya Quzier (lapan) dan Syazna Leena Zulhasnan (16) ketika Malaysia menang dengan jumlah 12 penalti.

Thailand memenangi perak dengan 18 mata tetapi juara bertahan, Filipina tidak diberikan gangsa berikutan hanya tiga pasukan mengambil bahagian.

"Ia adalah pertarungan sengit dengan Thailand dalam dua pusingan pertama tetapi kami semua menunggang dengan bagus, rakan sepasukan saya beraksi dengan bagus dan berjaya menjarakkan diri dengan Thailand," kata Qabil.

Qabil kini akan mula memberi perhatian untuk mempertahankan emas acara showjumping individu yang sudah dipertahankan sejak Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

"Saya amat gembira kerana menang tiga emas di sini tetapi saya harap akan menang satu lagi emas nanti. Ada tekanan dirasai oleh kami hari ini (semalam) tetapi saya harap akan menang sekali lagi dalam acara individu," kata Qabil.

Dalam acara final esok, Qabil akan disertai Syed Omar dengan hanya dua peserta dibenarkan bagi sesebuah negara.

Berita Harian

No comments: