Friday, December 14, 2007

Malaysia Menang 10 Emas Hari Ini, Makin Hampir Dengan Sasaran

KORAT, 13 Dis (Bernama) -- Persembahan cemerlang pasukan karate membantu kontinjen Malaysia Sukan SEA ke-24 untuk mendekati sasaran 64 pingat emas selepas menyumbangkan empat daripada 10 pingat emas hari ini.

Selain empat daripada karate, penerjun-penerjun negara menyumbangkan dua emas menerusi 3m papan anjal lelaki dan 1m papan anjal wanita manakala pasukan hoki menyapu kedua-dua pingat emas dalam acara lelaki dan wanita.

Pasukan gimrama menyumbangkan satu emas diikuti satu lagi daripada pasukan bola keranjang wanita yang menundukkan Thailand dengan hanya satu mata, menerusi gol pada masa tambahan.

Dengan 10 emas hari ini, Malaysia kekal di tangga ketiga dengan 54 emas, 45 perak dan 82 gangsa. Thailand semakin jauh untuk dikejar setelah mengatasi sasaran 150 pingat emas dengan 154 emas, 109 perak dan 94 gangsa manakala kedua Vietnam dengan 60 emas, 50 perak dan 74 gangsa.

Indonesia di tempat keempat dengan 41 emas manakala juara Sukan SEA Manila dua tahun lepas, Filipina di tempat kelima dengan 39 emas, Singapura keenam dengan 39 emas diikuti Myanmar (10), Laos (lima), Kemboja (dua) dan Brunei (satu).

Esok, hari kedua terakir Sukan SEA Korat, menawarkan 56 pingat emas dengan terbanyak dalam acara pelayaran (12), kanu (tujuh), karate (tujuh), terjun (lima), luncur angin (lima), badminton (lima), taekwondo (empat), judo (empat), tenis (dua), bola tampar (dua), perlumbaan bot tradisonal (dua), snuker (dua), besbol (satu), boling (satu), bola sepak (satu) dan gimrama (satu).

Dengan hanya 19 emas yang masih ada pada hari terakhir, kontinjen Malaysia mesti mencuba mencapai sasaran itu esok.

Harapan Malaysia adalah dalam acara terjun, pelayaran, karate, taekwondo, judo, boling, gimrama dan bola tampar pantai.

-- BERNAMA

No comments: