Tuesday, December 11, 2007

Rayzam raih emas, rekod baru


TAK TERKATA: Rayzam Shah menjulang tangannya sebaik melintasi garisan penamat 110m lari berpagar, semalam. Dia kini sebaris dengan tiga atlit Malaysia lain yang mampu catat masa bawah 14 saat.

Atlit 110m berpagar kini berada dalam 'skuad elit' negara catat bawah 14 saat

JAGUH baru 110 meter lompat berpagar negara lahir dalam diri Rayzam Shah Wan Sofian apabila meraih pingat emas dengan kepantasan 13.91 saat - sekali gus merakamkan rekod baru Sukan Sea tatkala Siti Shahidah Abdullah turut mempertahankan emas acara baling tukul besi wanita di Stadium Utama Kompleks Sukan Ulangtahun ke-80 Raja Thai, semalam.

Hanya dua emas ini disumbangkan atlit olahraga ketika harapan kepada dua lagi atlit iaitu Moh Siew Wei dalam 100 meter berpagar wanita dan Josbert Tinus (lompat jauh lelaki) gagal menepati harapan sekali gus menjadi laungan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia untuk meraih sejumlah 10 emas dalam temasya ini semakin kabur.


Namun, kejayaan Rayzam Shah berjaya menutup segala kesuraman itu apabila meletakkan dirinya dalam kelab elit pelari 110m negara yang berjaya mencatat bawah 14 saat. Hanya ada tiga pelari sebelum ini iaitu Ishtiaq Mubarak, Nur Herman Majid dan juara bertahan Sukan Sea, Robani Hassan berjaya berbuat demikian. Tetapi dia memegang rekod selaku pelari termuda berjaya mencatat bawah 14 saat pada usia 19 tahun.

"Saya cukup gembira dan tidak sangka akan menang serta memecahkan rekod Sukan Sea," kata Rayzam Shah, anak jati Sabah kelahiran Keningau ini. "Malah saya berjaya melakukan bawah 14 saat ini pada usia saya baru mencecah 19 tahun berbanding pelari ternama negara yang lain.

"Memang saya tidak menduga dapat melakukannya dalam Sukan Sea pertama apatah lagi berjaya memikul harapan negara untuk memastikan emas ini milik kita selepas ketiadaan Robani akibat kecederaan," katanya yang kini memburu rekod kebangsaan Nur Herman 13.73 saat.

GEMBIRA: Siti Shahidah pertahankan gelaran acara lontar tukul besi.

Catatan 13.91 saat itu meleburkan rekod lama 13.92 saat pada 2003 milik pelari Thailand, Suphan Wongsriphuck, yang menduduki tempat kedua dalam perlumbaan ini serta meneruskan tradisi negara melahirkan atlit berbakat dan acara lari berpagar ini. Seorang lagi pelari negara, Muhd Faiz Mohammad mendapat gangsa.

Bagi Siti Shahidah, balingan terakhir sejauh 52.93 meter membolehkannya mempertahankan emas dimenangi dua tahun lalu di Manila dan kemudian meramalkan kemungkinan akan mengundur diri daripada acara ini kerana ingin berumahtangga.

"Saya gembira kerana musim ini prestasi saya tidak begitu baik," kata Siti Shahidah, 26. "Tetapi saya memang ingin memenangi emas ketika Sukan Sea ini mungkin terakhir bagi saya. Tetapi saya gembira akhirnya berjaya melakukan balingan terbaik pada lontaran terakhir saya. Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini."

Siew Wei pula gagal mengulangi pencapaian dua tahun lalu apabila sekadar meraih perak dengan masa 13.61s, tewas kepada pelari veteran Indonesia, Dedah Erawati yang mencatat 13.51s dengan Wallapa Pansoongneun dari Thailand, ketiga.

Bagaimanapun kekecewaan paling besar buat skuad olahraga negara ialah kegagalan pemegang rekod kebangsaan lompat jauh Josbert untuk memenangi emas apabila dia hanya menduduki tempat keempat dengan jarak 7.45m dengan juara 200,3 Mohd Syahrulamri Suhaimi memenangi gangsa, 7.48m.

Malaysia turut memenangi gangsa dalam acara lari 4x100 meter lelaki dan wanita dengan Thailand mengungguli keduanya-duanya dan Muhammad Hafizud Sahadan menduduki tempat kelima dalam lompat bergalah dengan ketinggian 4.20 meter.

Berita Harian

2 comments:

amin said...

Tahniah!!! diatas kejayaan saudara Rayzam... moga ia menjadi titik tolak buat saudara melakar sebanyak mungkin kejayaan di masa hadapan.. saya doakan kejayaan saudara...InsyaAllah.....

amin said...

Kuatkan semangat!!!!!! kami bersamamu.......