BIARPUN Sukan Sea di Korat Thailand hanya akan membuka tirainya pada Disember nanti, Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) sudah menetapkan sasaran untuk meraih empat emas, sekali gus mengekalkan pencapaian yang dicapai ketika Sukan Sea Manila, dua tahun lalu.
Keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi dan pencapaian pelumba kebangsaan dalam siri latihan serta penyertaan di beberapa kejohanan tempatan dan luar negara termasuk yang terkini pada Kejohanan Lumba Basikal Ketua Menteri Melaka dari 3 hingga 5 Ogos lalu.
Pada kejohanan itu, pelumba muda negara, Mohd Rauf Nur Misbah mempamerkan persembahan mantap untuk muncul juara sekalipun terpaksa bersaing dengan beberapa pelumba dari Indonesia, Brunei dan Singapura.
Pengurus pasukan, Yunus Ibrahim, berkata sasaran pingat yang diletakkan di Korat itu adalah dianggap realistik berpandukan prestasi dan pencapaian semasa pelumba.
Begitupun katanya, persiapan ke arah itu masih belum menemui titik muktamad dan kini giat dijalankan termasuk menghantar pelumba bertanding di kejohanan luar negara.
"Pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) kali ke-27 yang akan berlangsung di Bangkok, bermula dari 8 hingga 10 September ini, MNCF akan menghantar empat pelumba untuk menggalas cabaran pasukan.
"Bagaimanapun, senarai mereka yang dipilih masih belum ditentukan. Namun ia adalah dari kelompok enam pelumba terbaik setakat ini iaitu Suhardi Hassan, Mohd Zamri Salleh, Mohd Safuan Sawai, Mohd Rauf Nur Misbah, Mohd Farid Abdul Razak dan Loh Sea Keong.
"Kami mempunyai ramai senarai pelumba yang boleh menggalas cabaran pasukan namun hanya mereka yang terbaik saja yang akan dihantar berlumba di Bangkok kerana kejohanan itu membabitkan penyertaan ramai pelumba handalan dari Asia.
"Apa yang pasti penyertaan mereka di sana nanti akan memberi banyak faedah dalam usaha meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian bagi membolehkan setiap pelumba berada pada tahap terbaik untuk merealisasikan sasaran pasukan di Korat nanti," katanya.
Ketika ini, semua pelumba kebangsaan yang kini berlatih di Senawang sedang menerima tunjuk ajar daripada jurulatih, Aminuddin Sulaiman.
Yunus yang juga Naib Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS), berkata jika pencapaian pelumba pada ACC nanti membanggakan, mereka akan terus diberi pendedahan untuk beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Dunia di Jerman pada 29 dan 30 September.
"Kejohanan Dunia itu adalah antara medan kemuncak mengukur prestasi pelumba sebelum ke Sukan Sea Korat. Bagaimanapun, penghantaran mereka ke Jerman akan bergantung sepenuhnya pada pencapaian pada ACC nanti," katanya.
Berita Harian
Thursday, August 23, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment