CABARAN dilontarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman, dibalas komitmen betapa kontinjen negara ke Sukan Sea di Korat, Disember ini, mampu membawa pulang jumlah pingat emas tertinggi.
Janji itu dinyatakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, sebagai tanda yakin terhadap kerjasama erat yang sedang dilaksanakan badan induk berkenaan bersama persatuan sukan kebangsaan.
“Saya optimistik kita mampu membawa pulang lebih daripada 61 pingat emas yang diperolehi ketika Sukan Sea di Manila, dua tahun lalu. Ketika ini, MSN dan semua persatuan sukan kebangsaan sama-sama berusaha mempersiapkan atlit sebaik mungkin.
“Menteri tekankan betapa kita perlu membuat pendekatan baru terhadap persiapan atlit. Jadi MSN dan persatuan sukan kebangsaan mahu menyahut cabaran itu,” katanya.
Pencapaian terbaik kontinjen negara pada temasya dwitahunan itu - di luar Malaysia - ialah dengan 61 pingat emas itu. Kilauan emas tertinggi pernah digapai ialah 111 pingat emas ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea 2001.
Azalina melontarkan cabaran itu ketika melancarkan buku pencapaian atlit negara dalam tempoh 50 tahun kemerdekaan dan Galeri Sukan di MSN, semalam.
“Saya beri tekanan kepada Zolkples bahawa kontinjen negara perlu menduduk empat tempat teratas keseluruhan. Walaupun bukan beliau yang bertanding, Zolkples bersama-sama pasukannya perlu mencari formula kemenangan itu,” katanya.
Kebetulan, temasya di Korat kali ini adalah medan ujian sulung buat Zolkples semenjak mengambil alih tanggungjawab selaku Ketua Pengarah MSN daripada Datuk Dr Ramlan Aziz, awal tahun ini.
“Saya percaya (cara terbaik menyahut cabaran itu) adalah mengenai pengurusan dan strategi. Lagipun, Zolkples sudah biasa dengan tekanan dan dia kini perlu melatih pegawai-pegawainya untuk mampu memikul peranan sebegitu,” kata Azalina.
Zolkples bingkas menegaskan betapa dia sanggup memikul cabaran itu, dengan bantuan peranan berkesan yang bakal dimainkan ‘pasukannya’ di MSN dan persatuan sukan kebangsaan lainnya.
“Cuma ketika ini, kita belum tetapkan sasaran pingat sebenar kerana masih ada beberapa jenis sukan belum mengesahkan jumlah atlit. Berdasarkan perkembangan terkini, kita mungkin menghantar jumlah atlit tertinggi, melebihi 500 atlit.
“Ianya adalah gabungan atlit muda dan berpengalaman kerana ketika pingat tetap jadi sasaran, MSN juga mahu memanfaatkan Sukan Sea ini sebagai medan pendedahan terbaik untuk atlit masa depan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina melahirkan keyakinan betapa penganjur akan dapat menjamin keselamatan atlit sepanjang tempoh temasya itu - yang kebetulan amat hampir dengan pilihan raya umum Thailand pada 23 Disember nanti.
Berita Harian
Wednesday, August 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment