Tuesday, August 28, 2007

Pindah atlit ke Langkawi

PERSATUAN Pelayaran Malaysia (MYA) bercadang memindahkan 18 atlit perahu layar yang sedang menjalani latihan di Port Dickson ke Langkawi sebelum menggalas cabaran di temasya Sukan Sea XXIV di Korat Thailand, Disember depan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan MYA, Mohd Afendy Abdullah, berkata langkah itu bagi memberi peluang pelayar berlatih dalam tiupan angin kuat, sekali gus mampu meningkatkan prestasi atlit ke tahap terbaik.

“Kita akan memohon secara rasmi kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memindahkan pelatih ke Langkawi dalam tempoh terdekat bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri belayar dengan kelajuan angin lebih 12 knot.

“Setakat ini mereka berlatih di Port Dickson dan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Optimist Dunia di Itali dan Kejohanan Perahu Layar Piala Terbuka Thailand di Pattaya, sebagai pendedahan,” katanya.

Mohd Afendy berkata, Pusat Sukan Perahu Layar Langkawi berharga RM8 juta yang memiliki pelbagai kemudahan pernah digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma XI) pertengahan tahun lalu.

Berita Harian

No comments: