Thursday, October 4, 2007

4 pemain polo berlatih di Argentina

Oleh ARSHAD KHAN (Utusan Malaysia)

KUANTAN – Seramai empat pemain polo negara akan dihantar berlatih di Argentina dalam tempoh terdekat sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA di Korat, Disember ini.

Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, penghantaran pemain-pemain itu ke luar diperlukan memandangkan tidak ada kejohanan polo di negara ini sehingga November ini.

‘‘Tidak ada sebarang pertandingan polo bermula sekarang hingga November dan pemain-pemain ini perlu juga memantapkan tahap kecergasan dan kemampuan teknikal menjelang kejohanan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyaksikan perkembangan pembinaan Masjid Baru Chendor di sini, semalam.

Tambah beliau, empat pemain yang telah disenaraikan mewakili negara ialah Zulhairi Kosli, Saladin Mazlan, Shaik Reisman dan Tengku Shahzrin Tengku Sulaiman.

Ditanya mengenai peluang untuk muncul juara di Sukan SEA Korat yang berlangsung dari 6-15 Disember ini, beliau yakin pasukan negara akan mampu membawa pulang pingat emas.

Beliau bagaimanapun tidak memandang rendah kemampuan tuan rumah dan pasukan Filipina yang katanya mungkin menjadi penghalang ke atas hasrat pasukan polo negara ini mendapat kedudukan yang terbaik.

Kali terakhir polo dipertandingkan di peringkat Sukan SEA ialah pada 1983 dengan emas dimenangi pasukan negara dan Filipina mendapat perak.

Tengku Abdullah merupakan salah seorang pemain dalam skuad polo ketika itu.

No comments: