Oleh Norzie Mohd. Khasbi
|
|
KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin kontinjen negara di Sukan SEA Korat mampu mengatasi kutipan 61 pingat emas yang dirangkul pada temasya 2005 Manila, ekoran peningkatan 10 peratus jumlah acara yang dipertandingkan kali ini.
Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, walau pun terdapat beberapa acara yang tidak menurunkan atlet utamanya, namun ia tidak akan menjejaskan keupayaan kontinjen keseluruhan.
Beliau percaya, sukan yang sering menjadi penyumbang terbesar emas negara seperti olahraga, akuatik dan gimnastik akan terus menjadi lubuk emas Malaysia.
“Saya percaya dengan peningkatan 10 peratus jenis acara yang dipertandingkan kali ini, kita boleh mengatasi kutipan 61 pingat emas yang dilakukan di Manila dua tahun lalu.
“Walau pun ada sukan tidak mempertaruhkan atlet utamanya, tetapi ia boleh diimbangi oleh sukan lain yang menyaksikan penambahan acara baru, jadi saya tetap percaya prospek kita untuk memperbaiki pencapaian terdahulu adalah baik,’’ kata Kok Chi.
Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar penajaan kelab penyokong Famemas Malaysia ke Sukan SEA Korat oleh Samsung di Wisma OCM, di sini semalam.
Pada Sukan SEA di Manila, dua tahun lalu, kontinjen negara melakar rekod pencapaian terbaiknya di luar Malaysia dengan membawa pulang 61 emas, 49 perak dan 65 gangsa.
Jumlah itu bukan saja mengatasi sasaran awal, malah jauh meninggalkan pencapaian dua tahun sebelumnya, di Temasya Vietnam 2003, di mana kita meraih 43 emas, 44 perak dan 58 gangsa.
Pada Temasya 2007, yang berlangsung dari 6-15 Disember ini, Malaysia akan mengambil bahagian dalam 37 dari jenis 40 sukan. Tiga sukan yang tidak akan disertai adalah muaythai, gusti dan bot tradisional.
Setakat ini, olahraga merupakan sukan yang meletakkan sasaran tertinggi dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mensasarkan 10 emas untuk dibawa pulang dari Thailand.
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) pula yakin untuk membawa pulang lima pingat emas, manakala Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) mengintai empat emas.
No comments:
Post a Comment