KUALA LUMPUR – (Utsusan) Malaysia mungkin terlepas sebutir pingat emas yang mampu dimenangi apabila acara hoki wanita diberitakan mahu digugurkan daripada Sukan SEA ke-24 di Korat dari 6 hingga 15 Disember ini oleh jawatankuasa penganjur (KOGOC).
Pengarah Bahagian Atlet Elit Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Ghani berkata, masih sukar untuk memastikan kesahihan berita berkenaan dan pihaknya setakat ini masih menganggap hoki wanita akan tetap dipertandingkan di Korat seperti yang dijadualkan.
“Selagi belum ada kenyataan rasmi yang diperoleh, kami menganggap hoki wanita masih dalam Sukan SEA Korat dan skuad negara tetap membuat persediaan menghadapinya seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil, semalam.
Khabarnya hoki wanita digugurkan kerana hanya Thailand, Malaysia dan Singapura yang mengesahkan penyertaan sehingga tarikh penamaan pasukan berakhir kelmarin sekali gus tidak menepati peraturan sekurang-kurangnya empat pasukan menyertai sesebuah acara.
Namun Ariffin menegaskan, skuad hoki wanita negara wajar mempertahankan pingat emas Sukan SEA dengan kelebihan ranking dunia dan rekod Piala Asia kita, bulan lalu di samping emas daripada temasya 2001, 1999 dan 1997.
“Tiada alasan untuk mereka gagal menang emas sekalipun kita menghantar pasukan campuran senior dan remaja ke Korat dari kalangan 30 pelatih sekarang dan bukannya pasukan utama yang menduduki tempat kelima Piala Asia,” katanya.
Ketua jurulatih negara, Yahya Atan berkata, senarai akhir 16 pemain ke Korat bakal ditetapkan sejurus sebelum mereka beraksi pada Kejohanan Empat Negara di India dari 1 hingga 5 Disember ini dengan menentang India, Azerbaijan dan Itali.
“Kami juga akan berlepas ke Singapura, 16 Oktober ini bagi menyertai Jemputan Empat Negara dari 17 hingga 21 Oktober,” katanya.
Menurutnya, walaupun tetap memburu emas, skuad negara lebih mengutamakan persediaan ke Kelayakan Olimpik di Victoria, Kanada dari 26 April hingga 4 Mei ini dengan menentang Korea Selatan, Scotland, Itali, Ireland dan Cuba.
Buat kali pertama sejak sekian lama, Malaysia layak menyertai kelayakan Olimpik menurut ketetapan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) berdasarkan pencapaian dalam Sukan Komanwel Melbourne dan Sukan Asia Doha tahun lalu.
No comments:
Post a Comment