BANGKOK 27 Okt — Thailand akan mengerahkan lebih 7,500 anggota polis untuk menjaga keselamatan pada Sukan SEA ke-24 Disember ini, yang kebetulan berlangsung dalam tempoh berkempen bagi pilihan raya umum negara ini pada 23 Dis.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Dr Suvit Yodmani hari ini berkata, mereka akan ditempatkan di semua venue pertandingan di Korat, Bangkok dan Chonburi, manakala khidmat sejumlah anggota tentera juga akan digunakan bagi menjaga keselamatan lebih 7,000 atlet dan pegawai serta orang kenamaan dan penonton.
“Polis akan memastikan semuanya tersusun dan sukan ini berlangsung tanpa masalah, dengan kerjasama tentera,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur sukan itu di sini.
Sebelas negara, termasuk Timor Leste, akan menyertai sukan itu yang bertemakan “Semangat, Persahabatan dan Perayaan” dan menyediakan 485 pingat emas untuk rebutan atlet melalui 43 sukan.
Thailand memperuntukkan 1.5 bilion baht untuk menjadi tuan rumah sukan itu, di mana pertandingan bagi 31 acara akan berlangsung di Korat dan selebihnya di Bangkok dan Chonburi.
Mengenai penajaan sukan dwi-tahunan itu, Suvit berkata, sehingga kini mereka telah menerima jaminan penajaan lebih 409 juta baht daripada syarikat seperti Nestle, PTT, Canon, Coca-Cola (Thailand), Siam Sport Syndicate, TOT, CAT, Volvo dan Hewlett Packard (Thailand).
Katanya, jawatankuasa penganjur juga telah menerima permohonan daripada Laos, Timor Leste dan Kemboja supaya Thailand membiayai kontinjen mereka dan perkara itu akan dibawa kepada Kabinet untuk kelulusan.
“ Mereka telah memohon kami untuk memberi bantuan AS$50 bagi setiap atlet untuk tinggal di perkampungan sukan, tetapi kami perlu mendapatkan kelulusan kerajaan dulu,” katanya.
Wilayah Nakhon Ratchasima atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Korat, terletak kira-kira 260km di timur laut Bangkok, sedang giat menyiapkan sebuah kompleks sukan berharga AS$77 juta bagi sukan itu, termasuk dua stadium tertutup yang masing-masing mampu memuatkan 5,000 dan 2,000 penonton, sebuah stadium terbuka bagi 20,000 penonton, sebuah velodrom dan sebuah kolam renang 50m bersaiz Olimpik.
Upacara perasmian sukan itu akan diadakan pada 6 Dis, sehari selepas hari ulang tahun ke-80 keputeraan Raja Bhumibol Adulyadej, raja paling lama menduduki takhta di dunia. -Bernama
Saturday, October 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment