Oleh Azidan Nahar (Berita Harian)
MASALAH yang menimpa Raja Pecut Asia Tenggara 2003, Nazmizan Mohamad seharusnya dapat dielakkan jika pelari berkenaan menyuarakan rasa tidak puas hatinya lebih awal, bukannya bertindak sendirian dengan tidak menyertai latihan.
Ketua jurulatih olahraga negara, Hanapiah Nasir menjelaskan Nazmizan sepatutnya membawa masalah 'tidak serasi' dengan kaedah latihan jurulatihnya, Harun Rasheed kepada perhatian mana-mana pihak terlebih dulu termasuk dirinya dan tidak terburu-buru mengambil tindakan untuk bersara.
Sambil mengakui perkara berkaitan masalah disiplin Nazmizan masih dibincangkan di peringkat pentadbiran Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Hanapiah akur nama Nazmizan memang tidak disenaraikan ke Terbuka Thailand kerana beberapa faktor.
"Saya tidak boleh beri tahu (sebab tidak disenaraikan), ia masih dibincangkan dalam pentadbiran dan belum rasmi, selepas ini baru akan diputuskan," kata Hanapiah.
"Kami masih menanti proses pentadbiran ini kerana ia babitkan banyak pihak. Kami perlu melihat dari pelbagai sudut supaya ia tidak akan memihak kepada mana-mana pihak."
Difahamkan masalah disiplin Nazmizan bermula apabila dia tidak menyertai latihan bersama Harun selepas Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Kangar sehingga mendapat perhatian KOAM menyebabkan namanya tidak disenaraikan ke Bangkok pada saat akhir.
Kesan daripada itu, juara berganda acara 100 dan 200 meter Sukan Sea Vietnam 2003 itu, membuat kenyataan mengejut apabila membayangkan akan bersara daripada dunia olahraga berikutan rasa kecewa namanya tidak tersenarai ke kejohanan berkenaan.
Hanapiah yang turut terkejut dengan tindakan atlit pecut berasal dari Dungun, Terengganu itu, berkata peluang buat Nazmizan masih ada pada Kejohanan All Comers November nanti kerana nama-nama sebenar atlit untuk ke Sukan Sea Korat masih belum dimuktamadkan.
"Itulah yang sering menjadi cara atlit, mereka tidak berfikir panjang. Bagi saya perkara ini sudah terlalu lambat (untuk disenaraikan ke Terbuka Thailand), ia boleh dielakkan jika atlit ini mendengar nasihat.
"Tetapi bagi saya ia masih belum berakhir buatnya. Saya sendiri nak tahu kenapa dia berkata begitu? Adakah kerana tidak lagi memiliki motivasi?. Dia berumur 27 tahun dan bagi saya dia masih ada tiga hingga empat tahun lagi untuk membuktikannya.
"Dia harus belajar kerana apa yang dilakukannya akan memberi kesan terhadapnya juga. Dia perlu belajar mengenai hidup, memang dia Nazmizan Mohamad tetapi dia masih perlu belajar," kata Hanapiah sambil berkata status 'selebriti' anak buahnya itu mungkin menjadi antara sebab dia bertindak begitu.
Bagaimanapun, Hanapiah menegaskan dia masih akan memberikan sokongan pada Nazmizan dan melihat perkara berkenaan dari sudut yang positif dan bersedia untuk berbincang dan menangani perkara berkenaan untuk kebaikan semua pihak.
No comments:
Post a Comment