JAMU SELERA: Shalin (tengah) dan pemain bowling negara pada majlis berbuka puasa bersama Canon di Subang, semalam. |
REPUTASI selaku juara dunia tidak harus memberi beban kepada skuad bowling wanita negara menjelang Sukan Sea Korat, Disember ini, asalkan pemain bijak menangani tekanan dijadikan pasukan pilihan.
Ratu bowling negara, Shalin Zulkifli percaya pengalaman yang ada pada pemain mampu membantu mengharungi situasi seperti itu apa lagi saingan di peringkat Asia Tenggara tetap sengit dengan beberapa negara mula menunjukkan peningkatan.
"Sudah pasti apabila sudah menjuarai Kejohanan Dunia, tumpuan pasti kepada anda. Saya yakin setiap pemain dalam skuad negara mempunyai pengalaman mencukupi, dan tidak akan berasa tertekan dengan reputasi juara dunia.
"Apabila anda mampu memenangi emas Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, secara logiknya mungkin tidak ada masalah untuk anda mengungguli Sukan Sea.
"Tetapi saya harus akui, saingan di peringkat Asean kini bertambah kompetitif berbanding ketika saya pertama kali beraksi pada 1993. Negara-negara seperti Indonesia kini semakin meningkat, begitu juga Singapura yang mempunyai ramai pemain muda berpotensi," kata Shalin yang ditemui pada majlis berbuka puasa skuad negara bersama penaja utamanya, Canon di Subang semalam.
Dia juga menyuarakan rasa puas hati dengan tahap permainannya kini, walaupun pada enam bulan pertama dia menghadapi sedikit kesukaran kerana menukar corak permainannya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Bowling Tenpin Malaysia (MTBC), Sidney Tung menegaskan badan induk itu masih belum mahu menyatakan sasaran pingat di Korat, walaupun senarai lapan pemain untuk skuad lelaki dan wanita untuk ke Sukan Sea sudah dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) minggu lalu.
Namun, Sidney menyuarakan keyakinannya terhadap kemampuan pemain negara bersaing dalam acara berpasukan.
"Bowling bukan seperti sukan lain yang mudah meletakkan sasaran emas. Ia bergantung kepada banyak faktor pada hari pertandingan, kemungkinan Majlis Sukan Negara akan meletak sasaran tiga emas buat kami," katanya.
Jumlah 18 pemain ke Korat akan dikurangkan kepada enam, masing-masing untuk lelaki dan wanita pada hujung bulan ini selepas pemain beraksi di Kejohanan Terbuka Antarabangsa China Taipei dan Kejohanan Tertutup Asia di Macau.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment