SEKIRANYA semua berjalan lancar, B Sathianathan tidak perlu bimbang kerana beliau memiliki kesebelasan utama yang boleh diharapkan bagi menggalas cabaran pada kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain bulan depan dan Sukan Sea Korat, Disember ini.
Namun jika ada insiden tidak diingini membabitkan pemainnya, beliau pasti pening memikirkan pengganti kepada kesebelasan utama lantaran prestasi pemain simpanannya tidak begitu memberangsangkan.
Walaupun terlalu awal untuk dinilai, jelas Sathianathan hanya mampu mengharapkan pemain kesebelasan utamanya, skuad sama yang menjadi pertaruhannya ketika menjuarai Pestabola Merdeka di Shah Alam dua bulan lalu.
Perlawanan persahabatan pertama daripada empat kesemuanya di Australia Barat menentang Perth Soccer Club kelmarin memaparkan perbezaan ketara antara kesebelasan utamanya dengan barisan simpanan.
Ketika Malaysia berjaya mendahului 1-0 pada babak pertama dengan menurunkan kesebelasan utama, skuad negara kecundang 3-1 berikutan keputusan Sathianathan dan barisan jurulatih menurunkan skuad simpanan pada babak kedua.
"Memang saya terpaksa melakukan sebegini untuk memberi peluang kepada setiap pemain untuk turun menimba pengalaman. Jika tidak, ia akan menjadi lebih sukar apabila khidmat mereka (pemain simpanan) diperlukan nanti.
"Saya tidak ada masalah dengan pemain utama tetapi bagi pemain simpanan, mereka perlu bangkit memperkemaskan permainan mereka," katanya.
"Memang agak jelas pemain simpanan perlu mempertingkatkan tahap permainan mereka yang mana mereka perlu menyedari pentingnya untuk menyesuaikan diri dengan perancangan permainan bila-bila masa. Tanpa kesedaran itu, pasti kami mempunyai masalah," katanya.
No comments:
Post a Comment