Thursday, October 4, 2007

Triam sasar empat pingat termasuk emas

Oleh Hasnira Hassan (Berita Harian)


CERIA: Razani (kiri) dan Stephanie Chok di majlis anugerah Triathlete PowerBar 2007 di Wisma MOM, semalam.

PERSATUAN Triathlon Malaysia (Triam) mensasarkan empat pingat termasuk satu emas di Sukan Sea, Korat, Disember ini, melalui empat atlit utama Kategori A daripada lapan yang dihantar menyertai acara triathlon dan duathlon.

Kimbeley Yap menjadi taruhan Triam membawa pulang emas manakala Sharom Abdullah dan Heidilee Muhammad atau Dino selain Mariana Muhammad berpotensi menghasilkan pingat.

"Kami tahu siapa yang boleh hasilkan pingat negara, namun kami tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi buat mereka.

"Sharom dan Dino boleh menghasilkan pingat cuma mereka perlu mengatasi saingan atlit Filipina dan Thailand manakala Mariana perlu berusaha keras untuk memperoleh pingat," kata Persiden Triam, Cheah Choon Nam di MOM, semalam.

Dalam senarai akhir atlit yang dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), bulan lalu, Triam memilih lapan atlit mewakili negara dalam temasya Sukan Sea di Thailand, akhir tahun ini iaitu Sharom, Dino, Mariana dan Stephanie Chok bagi kategori duathlon manakala, Muhamad Razani Husain, Wei Kuo Hau, Kimbeley Yap dan Ooi Chiew Wei pula dalam kategori triathlon.

Terdahulu, Cheah ditemui pada majlis penyampaian Anugerah Triathlete PowerBar Terbaik 2007 yang dimenangi Muhamad Razani dan Stephanie.

No comments: