KUALA LUMPUR – Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan memanggil semula dua bekas jurulatih negara, Iskandar Arshad dan Jamaluddin Hassan bagi memperkuatkan barisan jurulatih skuad elit dan wanita mulai tahun depan.
Khidmat Jamaluddin dan Iskandar yang membantu mengakhiri kemarau pingat emas Malaysia pada Sukan SEA Filipina 2005, ditagih semula oleh PSM selepas mereka berundur selaku jurulatih skuad elit ekoran Sukan Asia Doha, Disember tahun lalu kerana masalah keluarga.
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata, turut ditawarkan melatih skuad pelapis negara ialah bekas pelibas handalan, Rehan Mohd. Din yang membantu Malaysia membolot dua pingat emas berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991.
‘‘Saya fikir Jamaluddin dan Iskandar sudah dapat menyelesaikan masalah itu. Jadi tahun depan, PSM akan panggil mereka balik untuk melatih skuad elit dan wanita kita,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Keramat di sini, kelmarin.
Skuad elit negara yang cuba mempertahankan emas antara regu pada Sukan SEA Korat dari 6 hingga 15 Disember ini, kini dilatih oleh Haris Abdul Rahman dengan dibantu Sahar Omar, Zaidi Ismail, Nuruddin Pawi dan Amir Abu Bakar.
Osman Che Meh dan Rosli Ismail pula ditugaskan membentuk semula skuad wanita seramai 15 pemain sejak Jun lalu untuk ke Korat selepas kali terakhir Malaysia menyertai kategori ini dalam Sukan SEA, Jakarta 1997 (hanya antara regu).
Menurut Ahmad, keperluan menambah jurulatih itu sejajar dengan wawasan PSM untuk membentuk dua skuad elit, Malaysia A dan B yang bakal mengandungi 42 pemain berbanding sekarang yang cuma memiliki 22 pemain dan 14 pemain skuad pelapis.
‘‘Kumpulan pemain baru elit dan wanita mungkin dapat dipilih daripada Grand Prix Kebangsaan di Kuantan dari 22 hingga 25 Oktober ini, Kota Bharu (28 November hingga 2 Disember) dan Kluang yang serentak Kejohanan Wanita Kebangsaan (26 hingga 30 Disember),” katanya.
Sementara itu, Ahmad memberitahu, PSM akan cuba memohon kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan tapak baru bagi pembinaan Akademi Sepak Takraw Dunia dengan menukar tapak seluas 5.7 ekar yang diperoleh baru-baru ini.
‘‘Kami akan cuba berunding dengan kerajaan negeri untuk menggantikan tapak yang diperoleh di Tanjung Tokong itu dengan satu tapak baru seluas 10 ekar di Marina Bay, Bayan Baru. Kos pembinaan akademi itu sekitar RM80 juta,” katanya.
Menurutnya, PSM selain itu akan mengadakan perlawanan pertunjukan di beberapa bandar Kanada iaitu Vancouver, Montreal, Toronto dan Vienna yang melibatkan rombongan dua regu (lapan pemain) dari dua negeri dan empat pegawai dari 5 hingga 17 November ini.
Mengenai arahan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya PSM membayar ganti rugi RM6,000 kerana menarik diri daripada Sukan Asia Dalam Dewan di Macau mulai 26 Oktober ini, kata Ahmad, hal itu timbul kerana pihaknya tidak mendapat penjelasan sebenar ketika bersetuju menyertainya.
‘‘Wakil PSM ketika mesyuarat dengan MOM tidak diberitahu bahawa kami perlu menanggung perbelanjaan penginapan, makan minum dan tambang penerbangan ke sana untuk lapan pemain dan tiga pegawai (acara gelung) yang mencapai lebih RM24,000.
‘‘Skuad negara cuma ke sana sebagai pendedahan menghadapi Sukan SEA Korat (juga mempertandingkan acara gelung). Tanpa pembiayaan MSN, kos yang dikenakan MOM iaitu RM170 seorang bagi penginapan sahaja di Macau amat membebankan kami,” katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment