Wednesday, October 10, 2007

Sukan Sea Ke-24: Hoki wanita hilang pingat emas

Oleh Harris Rajahdin (Berita Harian)

Penganjur buat keputusan batal acara itu di Korat kerana tidak cukup syarat

MALAYSIA bakal kehilangan satu pingat emas yang sudah pasti milik kontingen negara dalam Sukan Sea nanti andai benar perkhabaran terbaru diterima dari negara tuan rumah, Thailand, semalam.

Difahamkan penganjur membuat keputusan membatalkan acara hoki wanita dari program berikutan kegagalan memenuhi syarat empat pasukan yang diperlukan dalam saingan itu.

Kini, hanya Malaysia, Singapura dan Thailand mengesahkan penyertaan pada edisi ke-24 di Korat yang terletak di wilayah Nakhon Ratchasima pada 6 sehingga 15 Disember ini daripada 11 negara yang bertanding dalam temasya dwi-tahunan serantau itu.

Begitu pun, berita itu yang disiarkan di laman web kejohanan masih belum disahkan lagi Majlis Sukan Negara (MSN) dan skuad wanita berikutan ketiadaan hitam putih rasmi penganjur, menjurus kepada anggapan bahawa saingan tetap akan diteruskan.

"Terdapat ura-ura bahawa hoki wanita akan dibatalkan tetapi sehingga kini tiada maklumat rasmi yang diterima. Kami menganggap bahawa ia (hoki wanita) akan diadakan," kata Ketua Bahagian Persediaan Atlit Elit MSN, Ariffin Ghani pada sidang akhbar skuad hoki wanita Sukan Sea di MSN, Bukit Jalil, semalam.

Sungguh pun Sukan Sea bukan tumpuan utama skuad negara yang mensasarkan kelayakan Sukan Olimpik yang dijadualkan 26 April hingga 4 Mei tahun depan, ketiadaannya pada edisi kali ini tetap mengecewakan pemain negara seperti yang dirasai ketika ia tidak dipertandingkan pada 2003 dan 2005.

"Memang kami menumpukan terhadap kelayakan Olimpik tetapi Sukan Sea mempunyai keistimewaan tersendiri. Kami begitu berkobar-kobar untuk menyertai Sukan Sea dengan ia kali terakhir dianjurkan pada 2001," kata Siti Sarah Nurfarah, ketua pasukan terakhir yang meraih emas Sukan Sea pada Kuala Lumpur 2001.

Persiapan lengkap diatur bagi skuad wanita kali ini dengan penyertaan dalam tiga kejohanan sebelum ini iaitu Korea Selatan, Hong Kong, Newcastle dengan pemain negara akan bertolak ke Singapura bagi menyertai pertandingan empat negara di Singapura mulai 17 sehingga 21 Ogos.

"Kami akan menghantar pasukan campuran remaja dan senior yang disertai pasukan Australia diwakili Queensland dengan Hong Kong dan Singapura akan menghantar pasukan utama," kata jurulatih, Yahya Atan.

No comments: