Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen negara ke Sukan SEA ke-24 di Korat dari 6 hingga 15 Disember ini, Datuk Zainal Abidin Ahmad meletakkan sasaran menyamai pencapaian 61 pingat emas seperti temasya di Filipina, dua tahun lalu.
Katanya, sasaran itu berdasarkan peningkatan semasa atlet Malaysia dalam acara bertaraf Olimpik seperti memanah, renang dan berbasikal selain kembalinya prospek utama negara seperti hoki, skuasy dan boling padang ke Sukan SEA.
‘‘Bola sepak juga mulai meningkat dan kita melihat dengan positif serta yakin untuk menyamai pencapaian di Filipina lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini, semalam.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh pengurus pasukan atau pegawai 31 persatuan sukan kebangsaan yang bertanding di Korat termasuk dua acara demonstrasi (go dan kempo) kecuali sukan tari, hoki wanita dan lawan pedang.
Menurut Zainal Abidin, beliau akan berada lebih banyak di Korat yang mempertandingkan 31 acara sepanjang Sukan SEA sambil dibantu Ketua Cawangan Khas Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Zaiton Othman di Bangkok (sembilan acara) dan Ng Chin Chai di Pattaya (enam acara).
‘‘Malaysia menghantar kontinjen yang mengandungi 700 atlet dan 250 pegawai ke Sukan SEA kali ini dengan skuad menembak merupakan kumpulan pertama ke Bangkok kerana pertandingan bermula 26 November ini,” katanya.
Malaysia akan menyertai acara olahraga, akuatik, memanah, badminton, besbol, bola keranjang, bina badan, tinju, kenu, berbasikal, sukan tari, ekuestrian, lawan pedang, bola sepak, gimnastik, golf, bola baling, hoki.
Selain itu, judo, karate, boling padang, pencak silat, petanque, mendayung, ragbi, pelayaran, sepak takraw, menembak, sofbol, skuasy, biliard & snuker, pingpong, taekwondo, tenis, boling, triatlon, angkat berat, bola tampar dan wusyu.
Mengenai pesawat Air Asia untuk kontinjen negara yang agak terhad dalam menampung muatan barangan dan peralatan sukan ke sana, kata Zainal Abidin, mereka akan cuba membuat pengubahsuaian dan ada acara yang terpaksa menggunakan penerbangan syarikat lain.
‘‘Persatuan sukan berkenaan masih mempunyai tempoh (sehingga hari ini) untuk menyerahkan senarai atlet lengkap mereka biarpun mungkin berlebihan daripada kuota sesetengah acara (antara 18 hingga 24 orang),” katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment