Wednesday, October 10, 2007

Pingat emas tiada nilai lagi'

Oleh Meor Hisham Zulkifli (Berita Harian)


Datuk Sieh Kok Chi

Kok Chi kecewa Thailand tambah acara 'bukan-bukan' untuk jadi juara

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan rasa kesal terhadap Thailand yang menganjurkan Sukan Sea ke-24 pada hujung tahun ini kerana memasukkan acara yang 'bukan-bukan' menyebabkan pingat emas yang dipertandingkan sudah tidak lagi bernilai.

Selain kerenah birokrasi yang dikenakan penganjur, Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi, meluahkan dukacita dengan tindakan itu kerana bimbang kelak Sukan Sea tidak lagi diiktiraf sebagai kejohanan berprestij.

"Kita melihat ada sesetengah acara sukan ditambah sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kualiti dan keaslian sukan terbabit. Ini adalah emas palsu yang tidak bernilai.

"Sukan tarian umpamanya, mereka mahu menambah daripada dua emas kepada 12 dengan pecahan dari setiap disiplin.

"Mungkin satu masa kelak, akan ada negara mahu menambah pingat dalam acara bola sepak iaitu emas untuk pendahulu separuh masa pertama, pemenang separuh masa kedua serta pemenang keseluruhan.

"Kita tidak boleh biarkan ini terus berlaku kerana bimbang Sukan Sea kelak dipenuhi sukan yang bukan bertaraf Olimpik atau bukan sukan warisan serantau sebenar," katanya pada majlis penajaan Kelab Sorak Malaysia (Famemas) di Wisma MOM, semalam.

Sebelum ini, Kok Chi membidas Persatuan Sepak Takraw Malaysia yang didakwa hanya menurut kemahuan Thailand yang ingin menyenaraikan acara berpasangan dan gelung, dua acara baru selain beregu dan berpasukan.

Mengulas mengenai pasukan sorak Famemas yang akan menyertai misi ketiga mereka di Korat bagi menyokong atlit negara, Kok Chi, berkata ia adalah satu langkah baik untuk meningkatkan moral dan semangat pemain.

"Bagaimanapun, kelab ini perlu mengembangkan aktiviti mereka bukan saja setakat menjerit dan bersorak, malah mereka perlu mengumpul dana bagi membantu program pembangunan atlit negara.

"Semua orang boleh jerit Malaysia Boleh, tetapi perlu tanya siapa yang benar-benar menyokong dan menjadi penyokong," katanya.

Pada majlis itu, Famemas dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics, akan menaja 50 rakyat Malaysia untuk menyertai hampir 100 penyokong negara untuk memberi sokongan kepada atlit negara di Thailand kelak.

Famemas yang kini sudah didaftarkan secara rasmi sebagai kelab sorak atlit negara, sudah pun mempunyai lebih 500 ahli berdaftar dan kini berharap lebih ramai rakyat negara tampil menyertai kelab ini.

No comments: