Oleh Mohd Amin Jalil (Berita Harian)
SELEPAS bergelut mencatat keputusan terbaik apabila prestasi yang tidak menentu sepanjang tempoh dua tahun, kini atlit 110 meter lari berpagar kebangsaan, Muhamad Faiz Mohd, semakin yakin dengan keupayaannya untuk menggalas cabaran di temasya Sukan Sea Korat, Disember ini.
Keyakinan itu bersandarkan catatan rekod terbaik yang tercipta pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand, baru-baru ini, apabila dia mencatat 13.93 saat - masa yang disifatkan sebagai terbaik pernah tercipta - sekali gus melayakkannya beraksi pada temasya dwitahunan itu.
Menurutnya, catatan itu adalah yang terbaik sepanjang tempoh empat tahun sejak 2003 berbanding sebelum ini hanya sekitar antara 14.15s manakala di Sukan Sea Manila 2005, mencatatkan masa 14.16s.
"Saya akui catatan masa itu adalah terbaik pernah saya buat dan saya sendiri tidak menjangka dapat melakukannya biar pun jurulatih (Hanapiah Nasir) akur.
"Namun catatan masa berkenaan nyata memberi kesan kepada peningkatan keyakinan dan semangat saya memberi persembahan lebih cemerlang di Korat nanti," katanya, semalam.
Atlit kelahiran Seremban berusia 24 tahun itu bersama Ray-zam Shah Wan Sofian dari Sabah, menjadi taruhan negara pada cabaran di Korat nanti selepas Robani Hassan dikatakan tidak bersama kali ini.
Bagi Muhamad Faiz, dia sudah menanam tekad dan azam untuk menggalas cabaran negara dengan sebaik mungkin di temasya itu nanti seperti mana harapan yang disandarkan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Katanya, dia akan cuba untuk mengekalkan catatan terbaik itu atau sekurang-kurangnya melakukan di bawah 14 saat bagi memastikan pingat emas acara berkenaan yang selama ini di dominasi atlit Malaysia, terus kekal.
"Pada temasya di Manila dua tahun lalu, Robani mempamerkan aksi cemerlang dengan meraih emas buat negara dan kini kami berdua bakal menggalas cabaran di Korat.
"Impian saya adalah memastikan pingat emas terus kekal milik Malaysia, tidak kira sama ada saya yang melakukannya atau
Rayzam Shah kerana saya mahu tradisi kejayaan itu mempunyai kesinambungannya," katanya.
Namun, begitu dia sedar cabaran bakal dihadapi bukan sesuatu yang mudah terutama dari Thailand yang menampilkan jagoan mereka Narongdeesh Janjai dan Suphan Wongsripuck yang mencatat masa 13.93s dan 13.82s.
Muhamad Faiz berkata, dia tidak berdepan tekanan mencapai misi yang disasarkan itu kerana yakin dengan corak latihan dijalani ketika ini.
No comments:
Post a Comment