Monday, September 17, 2007

Azizul enggan cepat melatah




Sasar emas di Korat selepas cipta gemilang dalam acara keirin ACC di Thailand

TUMPUAN penuh dan elak membuat kesilapan menjadi azimat penting Azizul Hasni Awang (gambar) bagi menggapai pingat emas di Sukan Sea 2007, Disember ini selepas ia terbukti berkesan berpandu kepada gemilang dicipta dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Thailand, baru-baru ini.

Hadir mencipta kejutan meraih emas di Bangkok apabila berjaya menewaskan pelumba ternama termasuk rakan senegara, Josiah Ng yang pernah menduduki tempat kelima di Sukan Olimpik 2004 di Athens dan perak Sukan Asia Doha, Azizul enggan cepat melatah dengan kejayaan itu.

Perjalanan saya masih terlalu jauh dan saya masih perlu banyak berlatih. Latihan tetap diteruskan pada bulan puasa ini menjelang saingan akan datang termasuk sebagai persiapan untuk ke Sukan Sea kelak,” katanya.

Azizul, 19, melakarkan berita gembira buat kem Malaysia pada ACC lalu kerana bukan saja menewaskan Josiah, tetapi mampu mengetepikan pelumba handalan dari Jepun dan Iran - menandakan pelumba remaja kini mampu menggalas cabaran negara.

Dengan kayuhan penuh bertenaga dan keberanian menyelit dan memintas pelumba besar lain yang bertubuh sasa ketika perlumbaan berbaki 800 meter, dia gah menewaskan pelumba Jepun, Toshiaki Fushimi dan Mahmoud Parash dari Iran di garisan penamat.

Bagi pelumba ini, episod duka apabila diusir dari Majlis Sukan Negara (MSN) akibat ‘dosa bertandang ke rumah salah’ mahu dilupakan sepenuhnya dan dijadikan pembakar semangat menebus segala dosa itu dengan membutirkan pingat untuk negara.

“Biarkan segala-galanya berlalu kerana saya kini berazam untuk terus menyumbang pingat untuk negara. Saya akan memastikan dapat terus berlumba dan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya yang turut digelar Ferrari oleh Josiah.

Ketika ditemui semasa disambut oleh MSN sekembalinya dari Thailand, dia berkata, tumpuan penuh terhadap perlumbaan digabungkan dengan niat untuk menang dan membuktikan kemampuan diri, menjadi azimat penting kejayaan.

“Kita perlu fokus dalam setiap perlumbaan dan memastikan sentiasa ingat tunjuk ajar jurulatih selain mengelak melakukan kesilapan. Namun apa yang penting, semangat juang untuk menang mesti ada dalam diri,” katanya.

Berita Harian

No comments: