KUALA LUMPUR – Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B23) ditempatkan dalam kategori A pada Sukan SEA di Korat, Thailand dari 5 hing-
ga 16 Disember ini, diterima oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA, MOM yang bersidang semalam dipengerusikan oleh Presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja’afar telah menerima permohonan itu sebulat suara.
Menurut sumber, panel yang bersidang membuat keputusan tersebut berdasarkan kejayaan skuad bimbingan B. Sathiananthan menjuarai Kejohanan Pesta Bola Merdeka Edisi ke-39, bulan lalu selepas menewaskan Myanmar 3-1 pada perlawanan akhir.
Bagi kategori A, semua perbelanjaan ke temasya itu akan ditanggung oleh MOM sementara perbelanjaan bagi sukan yang diletakkan di bawah kategori B akan ditanggung oleh persatuan masing-masing.
Berdasarkan rekod Sukan SEA, kali terakhir bola sepak menyumbang pingat kepada Malaysia ialah pada edisi 2003 di Vietnam dengan meraih pingat gangsa.
Dalam perkembangan yang sama, MOM menangguhkan ke hari ini untuk mengumumkan senarai muktamad kontinjen negara ke Sukan SEA ke-24 di Korat dari 6 hingga 15 Disember ini biarpun selesai menimbangkan proses rayuan, perubahan kategori dan penggantian atlet 14 jenis sukan, semalam.
Tunku Imran berkata, mereka perlu memaklumkan persatuan sukan kebangsaan berkenaan terlebih dulu kerana beranggapan bahawa tidak adil bagi mereka dengan hanya mendapat tahu jawapannya menerusi media.
‘‘Kami menimbangkan permohonan 14 jenis sukan yang antaranya merayu disenaraikan semula ke Korat, bertukar kepada Kategori A daripada B dan menggantikan atlet mereka atas pelbagai sebab,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut.
Menurutnya, persatuan sukan yang berbuat demikian dalam mesyuarat hampir tiga jam itu ialah olahraga, judo, taekwondo, bola sepak, besbol, berbasikal, tenis, boling padang, bola tampar, triatlon, lawan pedang dan angkat berat.
Dibiayai
Kategori A membolehkan atlet sukan berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh MOM manakala Kategori B memerlukan persatuan sukan berbelanja sendiri dan hanya boleh menuntut balik jika atletnya memenangi sekurang-kurangnya pingat perak.
‘‘Badminton diberi tempoh hingga 8 Oktober ini biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) khabarnya cuma mahu menyenaraikan skuad kedua ke Korat (supaya pemain utama dapat memberikan tumpuan memburu mata kelayakan Olimpik),” katanya.
Mengenai sasaran pingat emas Malaysia di Korat, katanya, MOM cuma meramalkan kutipan yang mengatasi pencapaian 61 emas pada temasya ke-23 di Filipina dua tahun lalu dengan mengambil kira kualiti persaingan dalam sukan tertentu yang ada di antaranya sudah bertaraf dunia.
‘‘Mungkin ramalan MOM ini berbeza dengan MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi ada kalanya perak dalam sukan tertentu seperti badminton yang bertaraf dunia, lebih tinggi daripada emas sesetengah sukan yang hanya disertai empat atau lima negara.
‘‘Kami di sini melihat ramalan emas di Korat dari senario keseluruhannya,” katanya yang bagaimanapun enggan menjelaskan angka ramalan emas untuk kontinjen negara daripada MOM.
Malaysia akan menyertai sebahagian besar daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA Korat termasuk akuatik, memanah, bola keranjang, biliard dan snuker, boling, tinju, kenu, ekuestrian dan polo.
Utusan
No comments:
Post a Comment