JAGUH lompat jauh negara, Mohd Azuan Zainal Abidin menyuarakan nada yakin betapa dia mampu layak ke Sukan Sea 2007 di Korat, Disember ini dengan bimbingan baik di bawah jurulatih negara, Hanafiah Nasir.
Tekad besar atlit berkenaan kini adalah untuk memperbaiki pencapaian di temasya Vietnam 2003 apabila dia meraih pingat gangsa dengan menjadikan Korat gelanggang menuai emas.
Pemegang rekod Sukan Malaysia (Sukma) yang diciptanya pada 2002 itu juga yakin dia tidak berdepan masalah untuk layak ke edisi kali ini berpandu kepada komitmen tinggi semasa latihan sebelum dan selepas Aidilfitri.
Katanya, walaupun sepanjang Ramadan dia tetap meneruskan latihan ringan bagi mengekalkan rentak larian dan lompatan untuk membolehkan prestasi sebenar terus berkekalan.
Dia turut menyuarakan rasa yakin untuk melepasi rekod terbaik miliknya - 7.72 meter yang dicipta di Kejohanan Olahraga Trek dan Padang di Manila untuk mendorong kejayaan lebih besar.
“Tiada kejayaan yang mudah dicapai jika tanpa usaha berterusan. Selepas pulih dari kecederaan sebelum ini, saya amat yakin mampu melakukan yang lebih baik pada kejohanan Terbuka Thailand selepas Aidilfitri kelak.
“Saya akan menggunakan semua teknik diajar jurulatih selain pengalaman ketika beraksi di semua peringkat serta latihan tiga bulan di Amerika Syarikat untuk membolehkan nama saya tidak tercicir menyumbang pingat buat negara.
No comments:
Post a Comment