Thursday, September 13, 2007

Pegawai KOAM diingat jangan ganggu atlet


KANGAR – Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim memberi amaran kepada pegawai-pegawai kesatuan itu supaya jangan ‘mengganggu’ atlet olahraga yang telah layak mewakili negara untuk ke Sukan SEA Korat, Disember ini.

‘‘Mereka akan tetap mewakili negara ke temasya itu. Jangan kacau mereka, jika mereka terus diganggu, saya pula akan ganggu mereka (pegawai-pegawai KOAM),” tegasnya.

Menteri Besar Perlis itu berkata, apa yang berlaku pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di sini minggu lalu tidak menjejaskan status atlet negara yang telah layak ke temasya dwitahunan itu.

‘‘Atlet terbabit tidak terjejas dengan apa yang berlaku di sini. Mereka akan tetap mewakili negara,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Shahidan mengulas mengenai pembatalan oleh KOAM sendiri terhadap tiga atlet pecut yang telah melepasi masa kelayakan untuk ke Sukan SEA Korat semasa beraksi pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di sini minggu lalu.

Mereka dibatalkan kerana didakwa berlaku masalah teknikal pada catatan masa.

Tiga atlet pecut itu berjaya melepasi had kelayakan 10.52 saat ke Sukan SEA semasa beraksi pada acara separuh akhir 100 meter lelaki.

Mohd. Nor Imran Hadi mencatat 10.41s, Mohd. Zabidi Ghazali (10.42s) dan Mohd. Latif Nyat (10.46s) tetapi pada peringkat akhir, ketiga-tiga pelari senior itu gagal melepasi 10.52s.

Pembatalan itu dibuat oleh Pengurus Projek KOAM, C. Ramanathan yang berkata, masalah teknikal berkaitan catatan masa menyebabkan catatan tiga pelari berkenaan pada peringkat separuh akhir tidak boleh diambil kira.

Ramanathan berkata, oleh kerana itu tiga pelari berkenaan masih belum memenuhi syarat ke Korat kerana tidak melepasi catatan 10.52s yang ditetapkan.

Bagaimanapun masalah teknikal itu disangkal oleh Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs), M. Iyaru yang menegaskan tiada masalah berkaitan catatan masa seperti yang didakwa Ramanathan dan kejohanan berkenaan berjalan dengan lancar.

No comments: