Tuesday, September 11, 2007

Skuad wanita makin garang


KEJAYAAN menjuarai Kejohanan Antara Regu Piala Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, baru-baru ini melonjak moral skuad sepaktakraw wanita negara untuk meraih pingat pada saingan Sukan Sea Korat, Disember depan.

Ketika pasukan terbabit masih dalam proses pemilihan dan penyesuaian dalam semua aspek termasuk taktikal dan strategi, jurulatih negara Osman Che Meh sudah melihat bayangan pasukan terbabit untuk menampilkan saingan sengit kepada Thailand, Vietnam mahu pun Myanmar di kejohanan terbabit.

Menurutnya, walaupun dilabel pasukan mentah tetapi dia melihat ada bayangan kejayaan mampu diraih, jika komitmen tinggi setiap pemain untuk meningkatkan prestasi tidak terjejas menjelang kejohanan sebenar.

Katanya, menjuarai kejohanan di Melaka adalah gambaran awal pasukan negara akan lebih mantap selepas ini termasuk menerusi perancangan untuk mengadakan aksi persahabatan di luar negara.

“Saya amat positif pemain terpilih mampu beraksi lebih hebat selepas ini. Malah kejayaan mereka menundukkan regu Terengganu di aksi final (21-13 dan 21-18), menepati reputasi mereka sebagai skuad pilihan kejohanan.

“Namun pada saya pemain tidak harus mendabik dada dengan kejayaan berkenaan berikutan masih banyak yang perlu dibaiki oleh mereka termasuk ketika bertahan dan melakukan serangan,” katanya.

Pasukan terbabit juga berjaya menewaskan Pulau Pinang di separuh akhir 21-14 dan 21-12 untuk mara ke final kejohanan.

Osman berkata, dua pemain yang mampu menjulang nama negara di sukan Sea untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa bakal dipertaruhkan kepada pemain tekong servis kuda, Nor Fairuz Azizan selain pemain berbakat besar dalam sukan terbabit iaitu Siti Zubaidah Che Abd Wahab.

Katanya, dia melihat beberapa kelemahan semasa aksi di Melaka akan terus diperbaiki untuk meningkatkan keupayaan individu serta pasukan untuk tidak dipandang mudah pihak lawan yang bakal ditentang.

Baginya, harapan peminat sememangnya tinggi kepada pasukan wanita negara, tetapi mereka harus memahami situasi sebenar terutama dalam usaha memantapkan pasukan yang memerlukan sokongan moral semua pihak termasuk penyokong setia.

Namun, dia tetap yakin semua pemain yang bakal terpilih ke Korat adalah yang terbaik untuk tidak mengecewakan peminat sukan berkenaan yang amat mengharapkan saingan getir dari pasukan negara kepada lawan yang bakal dihadapi.

BERITA HARIAN

No comments: