Thursday, September 27, 2007

FAM rayu skuad sertai Kategori A




Sertai 13 persatuan lain mohon semua perbelanjaan ke Korat ditanggung MOM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah antara 14 persatuan sukan kebangsaan yang memohon untuk menyenaraikan skuad mereka berdasarkan Kategori A di Sukan Sea hujung tahun ini.

Selain bola sepak, 13 persatuan lain yang berbuat demikian ketika mesyuarat terakhir pemilihan ke Sukan Sea Korat di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam ialah judo, taekwondo, bola sepak wanita, besbol, berbasikal, tenis, lawn bowl, pelayaran, bola tampar, triathlon, lawan pedang, olahraga dan angkat berat.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (gambar), berkata mesyuarat berkenaan adalah yang terakhir untuk pemilihan ke Sukan Sea hujung tahun ini dengan kebanyakan persatuan kebangsaan, meminta rayuan untuk menukar atlit dan mengubah kategori, selain memohon semua perbelanjaan ditanggung MOM.

Bagaimanapun, katanya mengikut prosedur MOM, pihaknya perlu memberitahu keputusan berkenaan terlebih dulu kepada persatuan kebangsaan sebelum membuat hebahan kepada media.

"Sebanyak 14 persatuan sukan kebangsaan membuat rayuan untuk disenaraikan dalam Kategori A termasuk bola sepak. Kita juga minta semua kontinjen memberikan nama atlit sebelum tarikh akhir 8 Oktober mengikut acara yang akan disertai," katanya.

Mengenai sasaran badan induk sukan negara itu, Tunku Imran menjelaskan pihaknya lebih berminat untuk melihat peningkatan dan kualiti saingan atlit negara dalam kejohanan dwitahunan itu dan ia mungkin berbeza dengan sasaran persatuan sukan.

"Kerana itu kami akan lihat secara keseluruhan (sebelum membuat sebarang sasaran)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika ditemui menjelaskan pihaknya menemui MOM untuk menimbangkan kemungkinan meletakkan bola sepak lelaki dan wanita dalam Kategori A.

"Berdasarkan pencapaian pasukan lelaki yang menang Pestabola Merdeka baru-baru ini, mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk naik taraf tetapi bagi bola sepak wanita, pencapaian terbaik mereka hanya tempat keempat Kejohanan Bola Sepak Wanita Asean (AFF) di Myanmar sebelum ini," katanya.

Kehadiran bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad sebagai Ahli Majlis MOM mungkin memberi sedikit kelegaan buat bola sepak kerana beliau lebih arif mengenai sukan berkenaan, seterusnya mampu memberikan kelebihan bagi bola sepak diletakkan dalam kategori A.

Bagaimanapun, Azzuddin menjelaskan jika pun mereka hanya tersenarai dalam kategori B, FAM akan tetap menghantar skuad pemain Bawah 23 tahun kendalian B Sathianathan menerusi pembiayaan sendiri ke Korat.

Ditanya mengenai sasaran pingat persatuan berkenaan, Azzuddin dalam nada sederhana, berkata sasaran mereka sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.

"Kerana itu kita hantar mereka (berlatih) ke Perth, Australia untuk bertemu lawan-lawan yang handal di sana, kita mahu mantapkan lagi kualiti pemain ini. Pada 20 Oktober mereka akan bertemu pula Bahrain dalam kelayakan Piala Dunia 2010," katanya.

Berita Harian

No comments: