Empat atlit lepasi had kelayakan ke Sukan Sea
BERMULA dengan dua, kemudian tiga dan kini empat - skuad pejalan kaki negara tampak mewujudkan saingan paling kompetitif bagi merebut tempat ke temasya Sukan Sea Korat, hujung tahun ini apabila empat atlit melepasi syarat ke kejohanan dwi-tahunan itu.
Gambaran sengit siapakah bakal memenuhi kuota hanya dua pejalan kaki itu bagaimanapun mewujudkan senario bahawa negara tidak pernah ketandusan atlit berbakat dalam acara itu dan pastinya ia mampu membawa kepada kilauan emas sekali lagi seperti yang tercipta sejak temasya 1991 di Manila.
Juara dua kali Sukan Sea, Shahrulhaizy Abd Rahman akur hanya pejalan kaki terbaik akan mendapat tiket ke sana dan dia kini terpaksa bersaing dengan Loh Choon Seng, V Thirukumaran dan terbaru, Teoh Boon Lim yang layak pada saat akhir menerusi Kejohanan Kebangsaan di Serindit, Melaka, dua minggu lalu.
�Saya yakin dengan kemampuan saya kerana saya menang kejohanan terakhir di Melaka. Saya sudah melepasi had kelayakan dua kali sepanjang tahun ini,� katanya yang menjuarai acara berkenaan di Melaka dengan masa 1 jam, 32 minit 0.45 saat selain sudah melepasi kelayakan itu sewaktu menyertai kejohanan di Krakow di Poland sebelum ini.
Apapun seharusnya kejohanan di Melaka itu seperti yang dilabel sebelum ini, adalah ujian terakhir buat semua pejalan kaki dengan dua yang terbaik saja akan dipilih, tampak tidak lagi menjadi kriteria pemilihan apabila Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dikatakan masih belum memilih dua peserta terbaik seperti dijanjikan sebelum ini.
Seperti dikatakan jurulatih acara jalan kaki, V Subramaniam, dia masih belum mendapat kepastian daripada KOAM siapakah yang akan terpilih dan keputusan berkenaan hanya dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi.
Shahrulhaizy melepasi had kelayakan dengan catatan 1:36:01s di Poland, Julai lalu walaupun sebelum itu berehat kira-kira dua tahun manakala Choon Seng dan Thirukumaran layak lebih awal menerusi Kejohanan Jalan Kaki Asia di Neagari, Jepun apabila melepasi had kelayakan ke Korat 1:36:27s.
Keazamannya itu dibantu dengan peningkatan dalam tekniknya apabila pernah beberapa kali mengalahkan tiga lagi peserta negara yang sudah layak itu dan kini sudah bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab selaku calon pilihan untuk meraih pingat.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment