KERAJAAN tidak akan menghantar atlit negara menyertai temasya Sukan Sea di Korat, Thailand, hujung tahun ini jika keadaan di negara itu yang menghadapi pilihan raya pada 23 Disember boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman.
"Kita tidak akan menggadaikan nyawa dan keselamatan atlit hanya kerana pingat. Bagaimanapun ketika ini, kita belum dapat apa-apa maklumat... tetapi bagi saya keutamaan kerajaan adalah keselamatan atlit," katanya selepas melancarkan kempen tandatangan Malaysia Boleh Sukan Sea ke-24 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohamed Yassin Mohamed Salleh; Chef-de-Mission kontinjen negara ke Sukan Sea, Datuk Zainal Abidin Ahmad, dan Pengarah Urusan Nestle (M) Sdn Bhd, Sullivan O'Carroll.
Jumlah kontinjen Malaysia ke Sukan Sea tahun ini dijangka melebihi 1,139 atlit dan pegawai, sekali gus menjadikannya penyertaan terbesar Malaysia dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959.
Sebelum ini, Jawatankuasa Sukan Sea Bangkok melaporkan 6,500 atlit dijangka berkampung di Thailand, 6 hingga 15 Disember ini untuk merebut 485 pingat emas yang dipertaruhkan dalam 485 acara daripada 45 jenis sukan.
Mengenai penghantaran pasukan kedua bagi acara badminton Sukan Sea kali ini, Azalina menyifatkan keputusan itu sebagai baik kerana menyediakan peluang kepada pasukan pelapis negara.
"Bagi saya, penghantaran pasukan pelapis ini menunjukkan satu peningkatan sekali gus menunjukkan keyakinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap kebolehan pasukan berkenaan," katanya.
Sementara itu, O�Carroll berkata kempen mengumpul tandatangan penduduk bagi menyokong kontinjen negara itu adalah inisiatif Nestle sebagai pengeluar minuman Milo sejak Sukan Sea ke-17 di Singapura.
Beliau berkata, menerusi kempen berkenaan, dianggarkan lebih 2.5 juta tandatangan dari seluruh rakyat akan dikumpulkan sebagai tanda sokongan kepada kontinjen negara.
"Sebanyak 20 van Milo akan bergerak ke seluruh negara bagi memudahkan orang ramai menurunkan tandatangan mereka.
"Kempen ini diharap dapat menghidupkan semangat kontinjen negara untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang serta membawa pulang lebih banyak pingat pada Sukan Sea kali ini," katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment