Tuesday, September 4, 2007

Bola sepak ada peluang disenarai Kategori A

KEJAYAAN pasukan Bawah 23 menyelamatkan maruah bola sepak negara apabila menjulang gelaran Pestabola Merdeka, mendapat perhatian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang kini sedia mendengar rayuan mereka untuk ke Sukan Sea, Thailand, Disember ini.


Selepas bencana pasukan senior dalam kempen Piala Asia sehinggakan MOM menyenaraikan sukan elit negara dalam Kategori B untuk ke Korat, kejayaan skuad muda jelas melembutkan hati badan induk sukan negara itu.

Bagi Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, masih belum terlambat untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mengemukakan rayuan memasukkan bola sepak dalam senarai Kategori A dan tidak perlu menanggung biaya ke Korat.

“Kami lihat ada perkembangan baik dalam sukan ini seperti yang ditunjukkan skuad muda negara dan dengan itu, bersedia mendengar rayuan serta penjelasan mereka berhubung perkara ini.

“Jika pasukan bola sepak wanita boleh merayu, mengapa pula FAM tidak tampil merayu terhadap keputusan yang dibuat pada mesyuarat pemilihan baru-baru ini,” katanya.

Kok Chi berkata, MOM akan mengadakan mesyuarat pada pertengahan September ini bagi menilai dan menimbangkan segala perkembangan terbaru serta rayuan yang dikemukakan oleh persatuan sukan kebangsaan.

“Kami akan mengadakan satu mesyuarat bagi mempertimbangkan beberapa rayuan daripada persatuan-persatuan sukan. Jadi saya harap, bola sepak juga akan tampil membentangkan kes mereka,” katanya.

Skuad bola sepak negara sebelum ini dikecam hebat apabila menjadi budak belasahan dalam Kejohanan Piala Asia, perkembangan yang dilihat sebagai kegagalan paling buruk FAM dalam memastikan perkembangan bola sepak negara,

Namun masih ada sinar dalam sukan itu apabila skuad Bawah 23 bangkit memadam onar yang terpalit apabila menundukkan Myanmar 3-1 pada aksi final, suatu yang disifatkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman mampu diteruskan bagi meraih emas di Sukan Sea.

Mengulas mengenai persiapan ke Sukan Sea, Kok Chi, berkata masih ada dua atau tiga persatuan yang belum menyenaraikan atlit mereka termasuk atlit olahraga dan judo.

“Kami yakin persatuan itu dapat menyenaraikan atlit mereka sebelum tarikh tutup 8 Oktober ini. Pada masa sama, persatuan turut diingatkan supaya menyenaraikan pegawai atau jurulatih yang layak saja dan bukannya pelancong ke Korat kelak,” katanya.

Berita Harian

No comments: