DISIPLIN, komitmen dan semangat juang tinggi menjadi aspek utama yang ditekankan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang menegaskan mereka tidak teragak-agak menggugurkan pelatih yang bersikap sambil lewa.
Sambil mengumumkan dua lagi pelatih elit digugurkan, Pengerusi Kejurulatihan PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin, berkata PSM sentiasa menitik beratkan soal disiplin dan komitmen pemain kerana ia menjadi teras kejayaan.
"Pemain perlu sedar mereka dipilih dan diberikan gaji serta imbuhan yang tinggi dengan harapan dapat meraih kejayaan dan mengharumkan nama negara. Oleh itu, kita tidak mahu ada pemain yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak mempunyai semangat juang tinggi.
"Kita tidak teragak-agak menggugurkan pemain berbakat atau sudah mempunyai nama besar dalam sepak takraw jika mereka tidak menunjukkan tahap disiplin dan komitmen tinggi ketika berlatih atau menyertai kejohanan kerana ia boleh menjejaskan semua," katanya.
Tengku Adnan berkata, dua lagi nama yang bakal digugurkan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa PSM dengan salah seorang daripadanya terbabit dalam masalah disiplin kerana menghilangkan diri daripada latihan pusat di Keramat selepas bercuti.
"Seorang lagi pelatih menarik diri atas alasan peribadi. Sebelum ini dia mengadu tidak dapat memberikan tumpuan kepada latihan serta pelbagai alasan lain sedangkan, PSM sudah pun menguruskan elaun bulanan serta menanggung semua kos latihannya," katanya.
Minggu lalu, Mohd Saifuddin Hussin yang membawa pulang pingat perak di Doha dalam acara berpasukan selaku tekong digugurkan kerana kemerosotan prestasi manakala Mohd Saufi Salleh yang dikalungkan gangsa menerusi acara beregu, dibenarkan keluar kem latihan untuk menyertai polis.
Turut digugurkan dua pelatih muda, Mohd Nasiruddin Manjur Ahmad dan Nor Akmal Fir daus. Nor Akmal sebelum ini disebut-sebut mampu menghadirkan sinar untuk takraw negara, namun kemerosotan prestasi ketika latihan, mengundang padah.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment