Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
|
|
KUALA LUMPUR – Malaysia tidak teragak-agak membatalkan penyertaan kontinjennya ke Sukan SEA Ke-24, Disember ini jika mendapat amaran mengenai keselamatan di Thailand.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, keutamaan Malaysia adalah keselamatan atlet dan pegawainya, malah kerajaan tidak akan menggadaikan nyawa mereka jika keadaan tidak mengizinkan.
Bagaimanapun, Azalina berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang amaran mengenai keselamatan di Thailand yang sebelum ini mencetuskan pelbagai kebimbangan kerana pilihan raya umum negara itu akan berlangsung pada 23 Disember ini.
Pilihan raya umum itu diadakan hanya lapan hari selepas Sukan SEA ditutup pada 15 Disember iaitu 10 hari selepas ia dirasmikan pada 6 Disember.
‘‘Pada kerajaan, keutamaan kita adalah keselamatan rakyat dan dalam kes ini, jika keadaan di Thailand disahkan tidak selamat kita akan membatalkan penyertaan pada Sukan SEA.
‘‘Kita tidak akan menggadaikan nyawa atlet semata-mata untuk mengambil bahagian pada temasya itu.
‘‘Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang maklumat atau amaran dikeluarkan, jadi apa yang kami maklum keadaan di sana adalah selamat,’’ kata Azalina selepas melancarkan kempen tanda tangan Malaysia Boleh! Sukan SEA 2007, anjuran Nestle di Menara KBS, Putrajaya, semalam.
Tahap keselamatan di Thailand ketika temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu berlangsung menimbulkan tanda tanya berikutan keadaan politik di negara itu yang kurang stabil sejak kebelakangan ini.
Sedar akan kebimbangan negara anggota mengenai keadaan sepanjang temasya itu, Thailand pada Julai lalu menghantar delegasi yang diketuai Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Thailand (NOT), Jeneral Charouck Arirachakaran untuk meyakinkan Malaysia mengenai keselamatan negara itu.
Dalam kunjungan tersebut, Charouck menegaskan, kebanyakan insiden keganasan berlaku di selatan Thailand dan tidak melibatkan tiga lokasi temasya - Korat, Bangkok dan Chonburi.
Malah, katanya, pihak keselamatan tempatan, yang terdiri daripada tentera dan polis juga telah diarahkan untuk memberi kawalan keselamatan maksimum.
Lebih 6,500 atlet dijangka membanjiri Thailand sepanjang edisi ke-24 temasya berlangsung untuk merebut 485 pingat emas yang dipertandingkan daripada 45 acara.
Malah, Malaysia sendiri dijangka menghantar kontinjen besar yang terdiri daripada 858 atlet.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment