Tuan rumah Sukan Sea beri jaminan pesta sukan berjalan lancar
KETIKA Malaysia memuktamadkan kontinjennya ke Sukan Sea XXIV, tuan rumah temasya Korat, Thailand mengumumkan semua prasarana sudah hampir siap serta sedia digunakan apabila sukan serantau itu menyingkap tirainya pada 6 Disember ini.
Sebelum ini, keadaan gelanggang menjadi tanda tanya daripada negara anggota termasuk Malaysia sendiri yang tidak mendapat sebarang perkhabaran sama ada ia akan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Tetapi berita terbaru dari Bangkok menyatakan pembinaan perkampungan sukan, kemudahan awal dan juga stadium utama kini 99 peratus siap dan hanya memerlukan sedikit sentuhan kecil sebelum diserahkan kepada jawatankuasa penganjur awal bulan depan.
Stadium utama untuk temasya di wilayah Nakhon Ratchasima itu boleh menempatkan kira-kira 30,000 penonton dan ia juga menjadi arena untuk upacara pembukaan serta penutup, bola sepak dan olahraga. Ia akan siap sepenuhnya sebelum 30 September ini.
Hanya pembinaan stadium renang dan trek pemanas badan mengalami sedikit kelewatan dan dijangka siap sepenuhnya Oktober ini.
Wilayah Nakhon Ratchasima akan menganjurkan 29 jenis sukan antaranya olahraga, badminton, bola sepak, renang, lumba basikal, angkat berat dan wushu manakala Bangkok akan mengelolakan sembilan sukan termasuk bowling, hoki dan skuasy.
Bagi sukan air pula yang membabitkan perahu layar, lumba perahu, basikal bukit dan ekuestrian, ia akan diadakan di Pattaya.
Malaysia dijangka menghantar hampir 750 atlit ke Korat dan mensasarkan untuk melepasi pungutan 61 pingat pada temasya 2005 di Manila.
"InsyaAllah, pungutan pingat kali ini akan lebih baik dari Manila," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong. “Sudah pasti kami mahu memastikan penampilan kali ini akan lebih berjaya dan terbaik berbanding temasya lalu.
"Tetapi jumlah sebenar sasaran MSN masih belum dipastikan kerana ketika ini kami masih memperhalusi dan menilai kekuatan setiap atlit sebelum dapat tampil dengan jumlah tepat sasaran pingat emas.
"Bagi saya, dalam apa juga temasya yang dihadapi, sudah tentu ada tekanan tetapi bagi saya perkara seperti ini sudah dilalui dalam setiap temasya yang diharungi, maka kami harus sahut cabaran yang dilontarkan ke atas kontinjen negara," katanya.
Sukan Sea Korat akan menyaksikan sejumlah 43 sukan dipertandingkan dengan 472 pingat emas menjadi rebutan.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment