Tuesday, September 11, 2007

Tiga atlit pecut gigit jari


Catatan di Kangar dibatalkan dan dikira belum layak ke Korat

BERITA gembira kejayaan tiga atlit pecut layak ke temasya Sukan Sea Korat selepas beraksi hebat pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Kangar, Perlis tidak berpanjangan apabila masalah teknikal menyebabkan catatan mereka dibatalkan.

Mohd Nor Imran Hadi sebelum ini mendahului senarai trio pecut itu apabila mencipta 10.41 saat diikuti Mohd Zabidi Ghazali (10.42s) dan Mohd Latif Nyat (10.46s) iaitu catatan yang melepasi syarat kelayakan 10.52s ke Sukan Sea ketika beraksi di peringkat separuh akhir acara 100m lelaki minggu lalu.

Bagaimanapun semua pelari senior itu gagal meneruskan rentak cemerlang dalam saingan akhir yang berlangsung di sebelah petang walaupun Imran muncul pelari terpantas dengan catatan 10.62s meninggalkan Latif di tempat kedua (10.66s) dan Danial Azuan Amar Nand, ketiga (10.78s).

Pengurus Projek Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), C Ramanathan, berkata masalah teknikal berkaitan catatan masa menyebabkan catatan tiga pelari berkenaan pada peringkat separuh akhir tidak diambilkira.

“Ada masalah teknikal menyebabkan catatan masa mereka pada separuh akhir tidak dikira, hanya catatan 10.51s (Zabidi Ahmad) diambil kira melepasi had kelayakan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dengan itu juga katanya, tiga pelari terbabit masih belum memenuhi syarat ke Korat kerana tidak melepasi catatan 10.52s yang ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun ada berita gembira buat pelari remaja, wakil Terengganu Zabidi Ahmad yang merakam catatan 10.51s pada saingan final kategori remaja apabila catatan itu disahkan melepasi syarat ke Sukan Sea.

Malah catatannya itu adalah lebih baik daripada masa dibuat pelari senior pada kejohanan yang berakhir di Stadium Kangar, minggu lalu serta terpantas dilakukan oleh pelari pecut negara tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs) M Iyaru sebaliknya menegaskan tiada masalah berkaitan catatan masa seperti yang didakwa Ramanathan dan kejohanan berkenaan berjalan dengan lancar yang berakhir kelmarin.

Sebelum ini, beberapa sukan seperti badminton dan olahraga masih belum menyenaraikan atlit mereka kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan tarikh akhir pendaftaran penuh atlit ialah pada 31 Oktober ini.

Ketika ini, hanya pemenang pingat emas Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF), Roslinda Samsu dan Lee Hup Wei, pejalan kaki Loh Choon Seang, B Thirukumaran, Mohd Shahrul Haizy Abd Rahman serta Yuan Yufang, atlit

lompat pagar Robani Hassan, Noraseela Mohd Khalid dan Moh Siew Wei, pelari 1,500 meter M Vadivellan, atlit baling tukul besi Siti Shahidah Abdullah dan atlit lompat jauh Ngew Sin Mei sudah layak ke Korat bersama kuartet 4x100m lelaki.

Juara berganda acara 100 dan 200m Sukan Sea Vietnam 2003, Nazmizan Muhammad serta penyandang gelaran acara 400m berpagar di Manila, Shahadan Jamaluddin seakan tercicir apabila mereka gagal menyinar dengan Nazmizan hanya berkedudukan ketujuh final dengan catatan 10.93s.

BERITA HARIAN

No comments: