BAM wajar guna peluang dedahkan skuad wanita sebelum kempen Piala Uber
KIRA-kira dua bulan lagi sebelum Sukan Sea Korat di Thailand bermula dan biarpun 'demam' temasya sukan dwitahunan itu belum begitu terasa, persiapan semua atlit negara boleh dikatakan lancar sehingga kini.
Sebagai sukan serantau terbesar, pastinya semua persatuan sukan kebangsaan mahukan keputusan terbaik apa lagi dengan sistem ranking yang bakal diperkenalkan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak lama lagi bagi menentukan peruntukan yang akan diterima kemudian.
Pada masa sama, persatuan sukan kebangsaan turut mempunyai tanggungjawab besar dalam memberikan pendedahan kepada atlit muda kerana Sukan Sea adalah satu-satunya pentas sukan terbesar bagi mereka sebelum mengimpikan peluang beraksi di Sukan Asia, Komanwel mahupun Olimpik.
Tidak hairan juga, kontinjen negara kali ini boleh dikatakan besar dengan angka atlit dikatakan akan melebihi 700 orang yang pastinya gabungan atlit muda dan senior.
Pada ketika MSN khususnya Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong dicabar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman untuk mengatasi pungutan emas di Manila pada 2005, tentunya kontinjen negara terdiri daripada senior dan remaja itu tidak boleh memberi alasan sekadar mencari pendedahan.
Ketika ini, penulis difahamkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut akan menampilkan skuad pelapis ke Sukan Sea bagi memberikan pendedahan awal buat mereka bagi persiapan di kemudian hari.
Ini kerana pencabar utama, Indonesia biarpun beberapa tahun lalu pernah menyuarakan akan menghantar pemain muda untuk Sukan Sea, dijangka tetap mengirimkan barisan terbaik mereka kerana itulah satu-satunya acara yang pasti menjanjikan emas buat mereka.
Namun, penulis tetap mengharapkan BAM akan mengirimkan barisan utama wanita ke Korat. Berbanding dengan pemain lelaki termasuk pemain pelapis yang banyak menerima pendedahan di pertandingan, skuad wanita masih memerlukan pendedahan yang mencukupi.
Difahamkan skuad wanita yang mahu dihantar adalah campuran daripada pasukan pelapis bimbingan Rashid Sidek serta pemain daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Pemain senior wanita negara sebenarnya kurang beraksi dalam acara berpasukan dan Sukan Sea adalah pentas terbaik mereka di mana pemain setidak-tidaknya boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pasukan lain di rantau Asia Tenggara ini.
Malah, pemain utama, Wong Mew Choo, juara perseorangan wanita Sukan Sea 2003, masih ada peluang menjuarai acara itu tahun ini, begitu juga dengan peluang pasangan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Langkah menghantar barisan utama wanita juga tidak keterlaluan kerana skuad itu juga mempunyai pemain muda seperti Julia Wong dan Lydia Cheah. Sebab itu pengalaman beraksi dalam acara berpasukan adalah sesuatu yang jauh lebih menguntungkan kepada skuad utama wanita.
Setidak-tidaknya 'remaja' yang sudah ada dalam skuad senior sudah diuji dan boleh diharapkan memberikan sumbangan yang lebih bermaksa.
Walaupun pemain remaja negara muncul juara pada Kejohanan Remaja Asia dalam acara berpasukan campuran baru-baru ini, bagi mendedahkan pemain muda wanita di pentas Sukan Sea, tanpa kehadiran rakan sepasukan yang lebih senior, dikhuatiri lebih mendatangkan kesan negatif.
Malah kecetekan pendedahan menerusi acara berpasukan itu sebenarnya dapat dilihat ketika Sukan Asia di Doha, Disember lalu. Ketika skuad wanita negara sebenarnya berpeluang layak ke separuh akhir dan mencipta sejarah meraih pingat gangsa buat julung kalinya, faktor itu jadi penghalangnya.
Manakan tidak, selepas Mew Choo dan beregu Pei Tty-Eei Hui - yang kerap terdedah kepada saingan peringkat tinggi - mengutip dua mata awal negara, kemaraan ke separuh akhir hampa di tangan Indonesia kerana barisan pelapis lainnya tidak punya kemampuan untuk bersaing dan memungut mata.
Pemain wanita negara perlu melepasi tembok keyakinan yang selama ini menghalang kemajuan mereka. Sukan Sea adalah pentas terbaik dan peluang untuk meraih gelaran adalah langkah terbaik dalam membina keyakinan mereka untuk mengharungi saingan antarabangsa yang lain.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment