Thursday, September 27, 2007

Olahraga paling ramai dalam Kategori A

OLAHRAGA menjadi antara sukan yang paling ramai dapat menyenaraikan atlit mereka menerusi kategori A iaitu 42 orang daripada keseluruhan 52 atlit disenaraikan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Daripada 10 atlit untuk kategori B pula, dua daripada mereka masih berpeluang naik taraf ke kategori A iaitu atlit lompat jauh, Mohd Shahrul Amri Mohd Suhaimi dan S Vikkram dalam acara 3,000 meter berhalangan, jika mereka berjaya melakukan catatan terbaik pada Terbuka Thailand, Oktober ini.

Selain 12 atlit yang layak secara merit apabila melepasi syarat kelayakan, 13 atlit lagi turut disenaraikan dalam kategori berkenaan termasuk juara bertahan acara 400m berpagar, Shahadan Jamaluddin selain Muhd Faiz Mohammad (110m berpagar) yang hanya akan mengesahkan penyertaan jika juara bertahan Sukan Sea Manila, Mohd Robani Hasan gagal pulih daripada kecederaan.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata bagi olahraga, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu mereka yang layak secara automatik dan kumpulan atlit yang hampir melepasi tahap kelayakan dan menunjukkan prestasi yang bagus.

“Kali ini lebih ramai atlit dalam Kategori A kerana kami rasa Sukan Sea ialah pertandingan untuk mencungkil bakat-bakat, paling penting untuk atlit muda menonjolkan prestasi mereka. Seperti olahraga, mereka ada ramai atlit bawah 20 tahun. Ada berumur 18 dan 19 dan yang paling muda berumur 16 tahun.

“Tetapi ramai antara mereka masih cedera dan kurang cergas untuk pertandingan, kerana itu kita akan pilih selepas Hari Raya. Nama sebenar mereka akan disenaraikan pada 8 Oktober, ketika ini nama mereka boleh ditolak atau ditukar,” katanya.

Kelmarin 14 persatuan sukan iaitu bagi bola sepak lelaki, judo, taekwondo, bola sepak wanita, besbol, berbasikal, tenis, lawn bowl, pelayaran, bola tampar, triathlon, lawan pedang, olahraga dan angkat berat mengemukakan rayuan kepada MOM untuk menyenaraikan atlit mereka di bawah kategori A.

Bagi acara judo, hanya seorang atlit wanita diletakkan dalam kategori A, taekwondo lapan atlit iaitu empat lelaki dan wanita, seorang pemain tenis wanita, skuad lawn bowl (tujuh lelaki dan tujuh wanita) dan seorang atlit perahu layar dalam acara Supermoth.

Selain itu, pasukan 10 atlit bagi acara lelaki sabre, epee dan foil individu turut disenaraikan dalam Kategori A manakala hanya dua atlit wanita turut dimasukkan dalam kategori sama.

Lima atlit angkat berat turut disenaraikan dalam kategori A dengan hanya seorang kategori B manakala tiada atlit lelaki acara berbasikal bukit disenaraikan dalam kategori itu dengan hanya pelumba wanita, Mazziyaton Mohd Radzi disenaraikan dalam kategori A.

Acara berpasukan yang gagal naik taraf ke kategori A termasuk bola sepak lelaki dan wanita, besbol serta bola tampar pantai lelaki.

Berita Harian

No comments: