Thursday, September 27, 2007

Mew Choo, beregu utama wanita ke Sukan Sea

DI sebalik langkah menunjangi usaha pendedahan pemain muda, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampak belum sedia membenarkan tradisi rangkulan emas pada temasya Sukan Sea dinoktahkan di Korat, Disember ini.

Lantas, skuad kali ini dirombak dengan nama pemain wanita utama, Wong Mew Choo serta beregu, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, hampir pasti diselitkan untuk memastikan rentetan emas itu mampu diteruskan.

Mew Choo punya rekod baik dalam penyertaan Sukan Sea, dengan mencipta bangga hasil kejayaan meraih pingat emas perseorangan pada temasya 2003 di Vietnam sebelum meraih perak di Filipina, dua tahun lalu.

Pei Tty-Eei Hui pula menamatkan penantian 30 tahun untuk emas dalam acara beregu wanita apabila mengungguli saingan dua tahun lalu di Manila.

Kemungkinan penyertaan nama Mew Choo dan Pei Tty-Eei Hui itu diakui Pengurus Besar BAM, Kenny Goh, selepas permintaan untuk memastikan badminton mampu terus menyumbang emas disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

"Mengambil kira permintaan yang dikemukakan Datuk Zolkples, BAM akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada jurulatih sebelum memuktamadkan senarai pemain, esok," katanya.

Selepas langsung gagal menyumbang pingat emas pada temasya 1997 di Jakarta, badminton kemudiannya tidak pernah menghampakan kontinjen negara, termasuk dua kilauan emas dua tahun lalu - menerusi Pei Tty-Eei Hui dan berpasukan lelaki.

Namun penyertaan nama Mew Choo dan Pei Tty-Eei Hui tampak tidak akan dituruti langkah sama dalam pasukan lelaki, apabila nama-nama utama seperti Lee Chong Wei, Hafiz Hashim, Wong Choong Hann serta beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pasti tidak turut serta.

"Ketika ini, sasaran utama kita ialah menyaksikan pemain-pemain negara bertanding dalam Siri Super Dunia dan meraih mata untuk layak ke Sukan Olimpik di Beijing nanti.

"Memburu pingat emas Olimpik adalah sasaran utama. Pemain tidak boleh hanya melayakkan diri kerana sasaran untuk mereka ialah membawa pulang pingat emas," kata Zolkples.

Lantas, cabaran bakal dipikul pemain muda dikendalikan jurulatih, Rashid Sidek, yang menyifatkan peluang pendedahan itu sebagai 'ruang terbaik untuk peningkatan pemain secara jangka panjang.'

Berita Harian

No comments: