KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menetapkan sasaran untuk mengutip 10 pingat emas pada Sukan SEA di Korat, Thailand dari 6-16 Disember ini.
Presiden KOAM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, selepas menilai sasaran pingat yang ditetapkan jurulatih masing-masing, beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai.
“Pada Sukan SEA lepas di Manila, kami memenangi lapan emas dan selepas dua tahun, adalah lebih adil kami sasarkan untuk memungut lebih banyak emas, terutama setelah banyak wang dan usaha dibuat untuk persediaan menghadapi kejohanan itu,” kata Shahidan kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat majlis (KOAM) di sini semalam.
Beliau berkata, 17 atlet layak untuk Sukan SEA Korat berdasarkan merit tetapi KOAM akan turut mencadangkan atlet yang berpotensi mendapatkan pingat bagi Malaysia dan beberapa atlet lain untuk pendedahan.
“Selain dari 17 yang layak, kami akan mencadangkan nama 33 atlet lelaki dan 25 wanita yang dikemukakan jurulatih masing-masing bagi diberi pendedahan bertanding di peringkat serantau.
“Daripada 58 yang dicadangkan, 50 peratus daripada mereka adalah atlet baru dan nama-nama mereka akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Malaysia Majlis Olimpik yang akan bermesyuarat esok,” kata Shahidan.
Pada Sukan SEA 2005 di Manila, Malaysia memenangi tiga pingat emas dalam acara lelaki - Robani Hassan (110m berpagar), Shahadan Jamaludin (400m berpagar), Mohd Shahrulhaizy Abdul Rahman (20km jalan kaki) dan lima wanita melalui Moh Siew Wei (100m berpagar), Roslinda Samsu (lombat bergalah), Ngew Sin Mei (lompat kijang), Siti Shahida Abdullah (baling tukul besi), Yuan Yufang (20km jalan kaki).
Dengan pengecualian Siew Wei, yang mengalami masalah kecederaan, kesemua yang lain layak berdasarkan merit.
Selain daripada pemenang pingat emas lalu, kemasukan atlet lari berpagar 400m Norasheela Khalid, yang tidak bertanding di Manila, dan pemenang pingat emas acara lompat tinggi kejohanan olahraga Asia Lee Hup Wei, dijangka memberi suntikan kepada Malaysia dalam mencari pingat emas.
Dengan lapan pingat emas, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam acara olahraga di belakang Thailand yang memperoleh 11 pingat dan Filipina yang mendapat sembilan.
Atlet yang layak mengikut merit:
Lelaki: Robani Hassan, Rayzam Shah (110m berpagar), Lee Hup Wei, Ahmad Najwan (lompat tinggi), Lo Choon Sieng, Teoh Boon Lim, Mohd Shahrulhaizy, B. Thirukumaran (20km jalan kaki), M. Vadivellan (1,500m), Zabidi Ahmad (100m), 4x100m berpasukan.
Wanita: Yuan Yufang, Tan Song Hwa (20km jalan kaki), Roslinda Samsu (lompat bergalah), Siti Shahida Abdullah (baling tukul besi), Norasheela Khalid (400m berpagar), Ngew Sin Mei (lompat kijang).
– Bernama
No comments:
Post a Comment