Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong semalam berkata, sasaran itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor secara terperinci termasuk penilaian prestasi semasa atlit termasuk aspek kecederaan.
“Sasaran ini dibuat berasaskan keyakinan lebih 70 peratus peluang atlit kebangsaan mampu membawa pulang pingat. Selain itu, ia juga berdasarkan kepada laporan prestasi semasa atlit negara lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan dwitahunan ini.
“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut bersetuju dengan jumlah ini ketika kami membentangkan sasaran berkenaan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN kelmarin,” katanya pada sidang akhbar di MSN Bukit Jalil semalam.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, yang menyatakan keyakinannya jumlah sasaran itu mampu diraih atlit kebangsaan berikutan kemajuan sukan yang semakin membanggakan di negara ini.
Skuad akuatik terus disandarkan harapan untuk meraih pingat tertinggi bagi kontinjen negara di Korat dengan sasaran lapan emas iaitu renang lima emas dan tiga bagi terjunan manakala bagi olahraga, MSN hanya mensasarkan tujuh pingat emas.
Turut disasarkan tujuh emas adalah skuad gimnastik iaitu dua menerusi acara artistik dan 5 acara gimrama. MSN juga menyokong sasaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dengan sasaran enam emas, berdasarkan peningkatan ketara pelumba muda negara.
Zolkples berkata, andai sasaran itu berjaya dicapai, ia adalah pencapaian tertinggi negara di luar Kuala Lumpur selepas catatan 61 emas di Manila dua tahun lalu.
Rekod tertinggi emas yang dicapai Malaysia kekal 111 emas pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 memadam rekod catatan Sukan Sea Kuala Lumpur 1989 iaitu sebanyak 67 pingat.
Beliau berkata, sasaran ini juga turut mengambil kira sukan subjektif seperti seni mempertahankan diri termasuk silat, karate dan taekwondo kerana menyedari ia selalu lebih memihak kepada tuan rumah.
“Di Manila lalu, wushu gagal meraih pingat tetapi seminggu selepas itu skuad negara meraih dua emas di kejohanan dunia. Prestasi karate dan silat begitu memberangsangkan ketika ini dengan empat emas di kejohanan karate Asia dan tujuh emas pada Kejohanan Silat Dunia.
“Namun disebabkan sukan ini berbentuk subjektif kita sekadar meletakkan sasaran karate kepada empat emas dan silat tiga emas.
“Saya begitu yakin kita mampu mencapai sasaran 64 pingat emas ini. Mungkin persatuan yakin meraih lebih banyak pingat tetapi ini adalah sasaran MSN dan andai jumlah yang lebih tinggi dapat dicapai, ia bakal menjadi satu bonus buat kita,” katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment