Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau tidak mahu melihat skuad bola sepak dan futsal lelaki serta wanita pergi tetapi pulang lebih awal dari temasya Sukan Sea di Korat, bulan depan.
‘‘Kami hantar awal dan janganlah balik awal pulak,’’ ujar sinis Azalina ketika berucap sewaktu mengadakan pertemuan dengan skuad bola sepak dan futsal lelaki serta wanita ke Sukan Sea di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Pertemuan singkat dengan sindiran sinis Azalina membuktikan betapa beliau menagih kejayaan dengan kilauan pingat bakal dibawa pulang oleh kontinjen daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.
Malah beliau turut membangkitkan betapa kementerian membelanjakan hampir RM12 juta kepada FAM semata-mata mahu melihat bola sepak kembali menyinar.
Begitu juga apabila kerajaan mengumumkan bola sepak disenaraikan dalam sukan teras ada juga beberapa persatuan sukan mempertikaikan keputusan itu dengan alasan bola sepak tidak memberikan sebarang kejayaan yang boleh dibanggakan.
Namun KBS tetap mempertahankan betapa bola sepak wajar disenaraikan dalam sukan teras.
‘‘Janganlah pergi dan pulang dengan berita buruk,’’ tegas Azalina lagi yang tidak mahu empat wakil daripada FAM itu gagal di peringkat awal.
Seperkara lagi beliau tidak mahu pemain apabila masuk ke padang longlai dan tidak bermaya berdepan dengan lawan yang lebih kuat dari mereka.
‘‘Jika kita fikir kalah sudah tentu kita akan kalah cuba fikirkan untuk kita menang,’’ ujarnya.
Buat Azalina tiada sebab kontinjen daripada FAM tidak dapat merealitikan impian terutama daripada skuad bola sepak bawah 23 selepas menjulang kejuaraan Pesta Bola Merdeka yang lalu.
Bola sepak katanya, menjadi tumpuan negara kerana sukan paling popular dan mendapat tempat di hati peminat tetapi malangnya tidak ada kejayaan yang mampu dibanggakan.
‘‘Saya melihat kepimpinan FAM yang masih diterajui oleh Sultan Ahmad Shah membuktikan betapa baginda mahu melihat kejayaan.
‘‘Dengan barisan kepimpinan kerana adanya Khairy Jamaluddin selaku Timbalan Presiden serta beberapa pegawai baru dalam kepimpinan badan induk ini pastinya mempunyai hala tuju yang baru.
‘‘Wajar pada saya kejayaan dirintis oleh skuad bola sepak pada Sukan Sea ini seperti mana adanya barisan kepimpinan baru badan induk ini
‘‘Saya yakin kita boleh berjaya,’’ ujarnya ringkas.
Azalina juga mahu pemain yang menyarung jersi Malaysia memadamkan tanggapan serong peminat yang akan menyifatkan skuad kebangsaan pasti tewas apabila berdepan Thailand maupun Singapura.
Begitupun beliau percaya kemampuan skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun yang dilatih oleh B. Sathianathan mampu menjanjikan kejayaan di Korat nanti.
‘‘Saya melihat kejayaan kita menewaskan Myanmar di hadapan ramai penyokong membuktikan bola sepak masih mempunyai sinar kejayaan,’’ ujarnya lagi.
Beliau menyedari betapa FAM terhimpit kerana masalah penajaan sukar diperoleh.
‘‘Kenapa FAM sukar dapat penaja ia kerana tidak ada kejayaan di bawa pulang dan ini semua bergantung kepada saudara dan saudari (pemain) dan jika menang tiada masalah penaja akan datang,’’ ujarnya lagi.
Menurutnya, sudah tiba masanya barisan pemain kebangsaan yang menyarung jersi Malaysia membuktikan komitmen tinggi mereka untuk memastikan kilauan pingat di bawa pulang.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment