Wednesday, November 28, 2007

Emas, perak buat Nur Suryani

Oleh Azidan Nahar di Bangkok, Thailand


BANGGA: Nur Suryani memperaga pingat emas dan perak yang dimenangi menerusi acara 50m rifle prone di Lapang Sasar Sports Authority of Thailand, di Bangkok petang semalam.

Gagal kekal gelaran di Manila

LAGU Negaraku berkumandang buat pertama kali ketika trio penembak wanita acara 50 meter prone berdiri megah selepas meraih emas pada Sukan Sea Korat edisi ke-24 di Lapang Sasar Menembak Sports Authority of Thailand di Hua Mark, Bangkok, semalam.

Nur Suryani Mohd Taibi, Nur Ain Ibrahim dan Haslisa Hamed mencipta pungutan mata berjumlah 1,755 bagi mengetepikan tuan rumah, Thailand di tempat kedua dengan 1,745 mata manakala Indonesia ketiga dengan 1,743 mata.


Suryani bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara individu yang dilangsungkan serentak, apabila meraih 587 mata, sekali gus gagal mengulangi emas yang dimenanginya di Manila, dua tahun lalu.

Penembak berusia 25 tahun dari Ipoh itu mencipta pungutan mata yang sama dengan pemenang emas dari Myanmar, Saw Than Than namun berdasarkan peraturan pertandingan, penembak Myanmar itu diisytiharkan pemenang kerana tembakannya lebih baik pada siri terakhir, 10 tembakan dari keseluruhan enam siri.

Bantahan skuad negara yang mendakwa juri tersilap melakukan pengiraan iaitu memberikan hanya sembilan mata kepada satu daripada tembakan Suryani yang dirasakan mampu menghasilkan tembakan sempurna 10 mata. Namun ia ditolak dan Suryani terpaksa berpuas hati dengan perak sahaja.

Kejayaan memenangi emas pertama pada Sukan Sea kali ini amat besar ertinya buat Haslisa yang memungut 584 mata pada penampilan pertamanya itu yang menyifatkannya ia akan menjadi kenangan terindahnya.

"Ini adalah Sukan Sea pertama saya. Sebenarnya sasaran saya hanya sekitar 580 mata kerana saya masih kurang pengalaman beraksi di peringkat setinggi ini," kata penembak berusia 21 tahun yang hanya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan kira-kira setahun lalu dan hanya pernah menyertai satu kejohanan antarabangsa setakat ini .

Haslisa yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak turut menghadiahkan kemenangannya buat ibunya, Nooraini Abd Karim yang selalu memberi dorongan buatnya sejak dia menyertai sukan itu sejak berusia 15 tahun.

Bagi Nur Ain pula, kejayaan memenangi emas itu adalah sebagai 'pemanas badan' buatnya yang akan menyertai Kejohanan Menembak Asia di Kuwait Disember nanti yang juga sasaran lebih utama buatnya untuk layak ke Olimpik Beijing.

Nur Ain juga cemerlang dalam acara individu apabila turut memungut sama mata dengan Haslisa tetapi catatan sempurna 10 mata pada siri tembakan terakhir membolehkannya berada di tempat keempat.

"Angin di sini agak kencang, mujur latihan selama dua minggu di Lisram (Lapang Sasar Menambak Antarabangsa Langkawi) yang memiliki ciri-ciri sama banyak membantu kami. Saya sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran cuma mahu memperbaiki catatan terbaik saya dengan catatan 593 mata," kata penembak berusia 21 tahun berasal dari Kuantan, Pahang itu.

Sementara itu, dua penembak acara 25m pistol, Noorerffane Abdul Malik serta Irina Maharani gagal menempatkan diri ke final apabila masing-masing hanya berkedudukan ke-10 dan 11 pusingan kelayakan dengan emas dimenangi penembak Vietnam, Nguyen Tha Van.


Berita Harian

No comments: