HANYA dua gangsa buat skuad menembak negara semalam ketika Lapang Sasar Menembak Sports Authority of Thailand digegarkan dengan kecemerlangan skuad menembak tuan rumah yang menyapu bersih semua enam emas dipertaruhkan.
Satu pingat gangsa disumbangkan skuad tiga penembak acara berpasukan 50m Rifle 3 Position diketuai Nur Suryani Mohd Taibi, Haslisa Hamed dan Nur Ain Ibrahim selain Suryani turut menyumbang satu lagi gangsa dalam acara individu.
Jelas kehebatan skuad tuan rumah sukar digugat apabila saingan final berpasukan menjadi milik mereka hasil gandingan mantap Sasithorn Hongprasert dan Kusuma Tavisri yang mengisi dua tempat teratas acara individu.
Sasithorn juga muncul juara acara individu dalam saingan penentuan membabitkan lapan penembak ketika Suryani hanya mampu memungut 90.3 mata untuk tempat ketiga, pingat ketiganya selepas kejayaan emas dan perak dalam acara Rifle Prone sebelum ini.
Bagi Suryani, dia agak gemuruh pada saingan final itu kerana ia membabitkan acara berdiri dan dilangsungkan di tempat tertutup bukan seperti saingan peringkat awal.
"Tembakan saya tidak menjadi pada final itu, ketika dapat pingat perak acara sebelum ini, ia dilangsungkan di tempat terbuka dan ia sedikit menggangu walaupun melutut dan berdiri adalah gaya kegemaran saya," kata Suryani.
Keputusan itu bagaimanapun memperbaiki persembahan hanya sekadar tempat kelima di Manila, dua tahun lalu dan Suryani masih punya peluang untuk mencipta emas dalam acara yang berlangsung esok.
Dia akan menyertai Muslifah Zulkifli dan Shaheera Raja Rahim dalam acara 10m Air Rifle wanita yang mempertaruhkan dua lagi emas ketika skuad negara tampak kesuntukan waktu bagi mencari sasaran empat emas pada edisi kali ini.
Nur Ain pula menjelaskan, Thailand memang gagah dalam acara berkenaan tambahan pula dia lemah dalam acara berdiri menyebabkan mereka kehilangan banyak mata berharga bagi menyaingi lawan.
"Saya sendiri memang tidak terlalu berharap dalam acara ini, saya perlu banyak lagi belajar cara tembakan secara berdiri seperti mereka lakukan.
Sementara itu, dalam acara 25m Standard Pistol individu lelaki, penembak negara Hasli Izwan Amir Hassan hanya mampu berkedudukan ketujuh dengan 543 mata dengan acara itu diungguli Prakarn Karndee dari Thailand sambil Poh Lip Meng dari Singapura dan Hoang Xuan Vinh (Vietnam) masing-masing berkedudukan kedua dan ketiga.
Dalam acara 10m Air Pistol individu wanita, Irina Maharani hanya berkedudukan kelima acara final yang dimenangi dua wakil Thailand, Warinya Butcha dan Tanyaporn Prucksakorn manakala Nguyen Thu Van dari Vietnam ketiga.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment